Oleh: Bazli Razak
IPOH, 30 Oktober 2025 — Pasukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila muncul juara Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Peringkat Kebangsaan 2025 bagi kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, petang kelmarin.
Pasukan yang dianggotai oleh Nuramiraasha Rashdan, Muhammad Faiz Md Fauzi, Muhammad Azri Asyraf Abu Seman, Muhammad Nur Ikhwan Abdul Kassim dan Nurul Syahera Zainudin, terdiri daripada pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bahasa Melayu dan ISMP Bahasa Arab, membuktikan keupayaan pelajar UPSI menggabungkan kekuatan ilmu bahasa dan kemahiran komunikasi dalam medan berhujah.
Kemenangan itu membolehkan pasukan UPSI membawa pulang cek cura bernilai RM4,000, piala kemenangan serta sijil penyertaan, yang disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu, pelajar UPSI, Nuramiraasha Rashdan, turut dinobatkan sebagai Pengerusi Terbaik, melengkapkan kejayaan berganda universiti itu dalam pertandingan berprestij tersebut.

Naib johan pertandingan disandang oleh IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah, manakala IPG Kampus Rajang, Sarawak menduduki tempat ketiga.
Pertandingan yang bertemakan “Bahasa Melayu Pemangkin Generasi Madani” itu dianjurkan bagi memperkukuh peranan bahasa kebangsaan sebagai wahana ilmu, komunikasi, dan perpaduan bangsa.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, ketika mengulas kejayaan itu berkata, kemenangan tersebut mencerminkan kecemerlangan pelajar UPSI bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga dalam mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan wacana ilmiah.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar UPSI bukan sekadar bijak berhujah, tetapi mampu berbicara dengan hikmah, berfikir secara kritis dan menyampaikan pandangan dengan adab serta budi bahasa,” ujar beliau.
Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad, berkata kejayaan itu adalah hasil komitmen tinggi para pelajar dan bimbingan pensyarah yang sentiasa menekankan keseimbangan antara penguasaan teori bahasa dan kemahiran komunikasi praktikal.
“Kami di Fakulti Bahasa dan Komunikasi sentiasa menyokong pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari ke dalam konteks sebenar seperti pertandingan forum ini.
“Ia bukan sahaja memperkukuh penguasaan bahasa, tetapi juga membina keyakinan, kepimpinan dan ketajaman berfikir,” katanya.

