Oleh: Muhammad Alif Ayub

Kuala Kangsar, 30 November 2025- Program Green Generation Project 1.0: Green Horizon telah berjaya dilaksanakan pada 28–30 November 2025 di SK Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi, Kuala Kangsar, melibatkan hampir 50 peserta terdiri daripada mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (KAHS) dan Fakulti Teknikal & Vokasional (FTV) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini Adalah Kolaborasi KAHS–FTV UPSI Kukuhkan Pendidikan Lestari di Sekolah Rendah

Program selama 3 hari 2 malam ini memberi penekanan kepada aplikasi kemahiran teknikal, vokasional dan pengurusan landskap melalui usaha menaik taraf rumah hijau sekolah. Antara kerja utama yang dilaksanakan termasuk pengubahsuaian struktur rumah hijau, baik pulih sistem siraman, penyelenggaraan kolam ikan, pembinaan semula rak tanaman, serta penyusunan konsep landskap baharu yang lebih teratur dan berfungsi.

Inisiatif ini bukan sahaja memantapkan penguasaan kemahiran praktikal mahasiswa, tetapi turut memperkukuh nilai kepimpinan, kolaborasi dan tanggungjawab sosial selaras dengan agenda UPSI sebagai Universiti No.1 Pendidikan. Manfaatnya turut dirasai komuniti sekolah yang kini memiliki ruang pembelajaran hijau yang lebih kondusif dan berdaya guna.

Felo penasihat program, Encik Muhamad Haikal, menyatakan penghargaan atas komitmen mahasiswa dan menyifatkan projek ini sebagai contoh terbaik pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang menyokong agenda Kelestarian dan Pendidikan Holistik UPSI.

Secara keseluruhannya, Green Horizon berjaya mencapai matlamatnya dalam membina kesedaran alam sekitar serta mengukuhkan hubungan universiti–komuniti. Program ini diharapkan menjadi model rujukan bagi pengembangan projek lestari di sekolah dan komuniti pada masa hadapan.