Oleh Tiffany Shahriza Wee binti Mohd Redzuan

Program Inovasi STEM 1.0: Ruang Ceria, Minat STEM Membara anjuran Exco Akademik dan Kerjaya, Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh telah berjaya direalisasikan dengan jayanya selama tiga hari pada 28 hingga 30 November 2025 di SK Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi.

Program ini bertujuan untuk menginovasikan dan memperindah makmal sains bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih ceria, kondusif dan mampu meningkatkan minat murid terhadap bidang Sains.

Sepanjang program, ahli jawatankuasa yang terdiri dari mahasiswa/i UPSI telah menjalankan pelbagai aktiviti seperti membersihkan tingkap dan kipas, menyapu serta mengemop lantai, menyusun atur semula perabot, mengemas keseluruhan ruang makmal, serta membalut meja dan kerusi murid.

Susun atur makmal turut direka semula agar kelihatan lebih luas, sistematik dan menarik bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Sebelum
Sebelum

MMKAHS juga mengambil inisiatif untuk menyumbangkan beberapa kemudahan baharu kepada pihak sekolah, termasuk rak serbaguna, rak kasut, rak fail serta dua bunting berkaitan makmal sains.

Sumbangan ini melengkapkan usaha menceriakan makmal dan menyokong persekitaran pembelajaran yang lebih selesa.

Turut hadir memberikan sokongan sepanjang program ialah barisan pegawai pentadbiran Kolej Awang Had Salleh: Puan Safarina binti Mat Nawawi, Encik Mohamad Ashraf bin Ahmad, serta Ketua Felo, Encik Muhamad Haikal bin Musa.

Kehadiran mereka menyuntik semangat kepada para mahasiswa dan menunjukkan komitmen tinggi pihak kolej dalam menjayakan projek ini.

Antara detik paling menyentuh hati ialah ucapan daripada guru kelas Sains yang menzahirkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga atas usaha para mahasiswa.

Beliau turut memeluk salah seorang ahli jawatankuasa program sebagai tanda penghargaan, sambil menyatakan rasa terharu melihat transformasi keseluruhan makmal yang kini tampil jauh lebih cantik, kemas dan inspiratif untuk murid-muridnya.

Selepas
Selepas

Secara keseluruhan, Program Inovasi STEM 1.0 berjaya mencapai objektifnya dalam memperindah ruang makmal sains di samping memupuk nilai kesukarelawanan, kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan mahasiswa.

Usaha sebegini diharapkan dapat memberi impak yang berkekalan kepada komuniti sekolah serta terus menyemarakkan minat murid terhadap bidang STEM.