Urusetia Family Lots of Love Fun Walk bersama TP (Akademik dan Perkembangan Kanak-Kanak)Urusetia Family Lots of Love Fun Walk bersama TP (Akademik dan Perkembangan Kanak-Kanak)

Oleh: Nadia Shahira binti Amiruddin dan Nurfatin Syazwani Halimi

Tanjong Malim, 10 Disember 2025 — Pusat Penyelidikan Pekembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) menganjurkan Family Lots of Love Fun Walk sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat UPSI 2025.

Program ini bertujuan memupuk budaya hidup sihat, menyediakan ruang interaksi berkualiti antara ibu bapa dan anak, serta menyemai kesedaran terhadap konsep Education for Sustainable Development (ESD) dalam kalangan masyarakat.

Tahun ini menyaksikan sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 250 orang peserta, menjadikan program ini antara aktiviti komuniti terbesar di UPSI melibatkan ibu bapa, anak-anak dan warga universiti.

Program ini dimulakan dengan aktiviti senamrobik yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-kanak), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) sebagai pencetus suasana ceria dan pemanas badan.

Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kecergasan peserta, tetapi turut membolehkan pelajar mengasah kemahiran penganjuran dan pengurusan program dalam suasana sebenar.

Sepanjang laluan fun walk, peserta melalui beberapa checkpoint interaktif yang menyediakan pengalaman pembelajaran bermakna.

Di checkpoint makanan, peserta menerima snek sihat sebagai simbolik kepada amalan gaya hidup seimbang. Seterusnya, checkpoint alat tulis menekankan kepentingan sumber pendidikan sambil menyuntik motivasi kepada kanak-kanak.

Di checkpoint kitar semula pula, peserta khususnya kanak-kanak diajar cara menghasilkan bunga menggunakan bahan terpakai sebagai usaha memperkenalkan nilai kelestarian, kreativiti dan kesedaran alam sekitar sejak usia awal.

Program ini bukan sekadar riadah, tetapi turut memberi pengalaman pembelajaran secara tidak langsung melalui gabungan pergerakan, kreativiti, interaksi keluarga dan pendedahan awal terhadap konsep ESD.

 Pelepasan peserta
Suasana Family Lots of Love Fun Walk

Program ini juga memberikan impak positif kepada keseluruhan ekosistem universiti, khususnya kepada pelajar UPSI, NCDRC dan FPM.

Pelajar memperoleh peluang meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan melalui penganjuran aktiviti komuniti yang berskala besar.

Fakulti pula menerima manfaat melalui pengukuhan hubungan kerjasama dengan pusat penyelidikan serta peningkatan aktiviti libat sama masyarakat yang menyokong pembangunan holistik pelajar.

Bagi NCDRC, program ini dapat mengukuhkan lagi imej sebagai pusat rujukan perkembangan awal kanak-kanak dan membuka ruang penyebaran nilai ESD serta amalan pendidikan berkualiti secara lebih meluas kepada masyarakat.

Secara keseluruhannya, Family Lots of Love Fun Walk UPSI 2025 merupakan sebuah platform berimpak tinggi yang menggabungkan elemen kecergasan, pendidikan, kelestarian dan kekeluargaan. Kerjasama erat antara pelajar UPSI, NCDRC dan FPM membuktikan bahawa penglibatan universiti bersama komuniti mampu mencipta pengalaman bermakna dan memberi manfaat besar kepada pelbagai pihak.