Pemenang WINN Innovation 2025Pemenang WINN Innovation 2025

Oleh: Nadia Shahira Amiruddin dan Nur Addini Alya Natasha Mohamad Hisham

TANJONG MALIM, 10 Disember 2025 – Pusat Penyelidikan  Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) menganjurkan program WINN Innovation 2025 bersempena Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat UPSI 2025. Bertemakan We Inspire Nature, pertandingan ini bertujuan memupuk kreativiti dan inovasi dalam kalangan murid prasekolah, sekolah rendah serta sekolah menengah di seluruh Malaysia. Empat kategori inovasi utama yang diketengahkan adalah aktiviti pendidikan, bahan bantu mengajar, produk kreatif dan projek sains atau teknologi mesra alam. 

Program ini melibatkan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-kanak) dengan kerjasama antara NCDRC dan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM). Penglibatan ini merupakan usaha UPSI meningkatkan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar dalam kalangan mahasiswa.

Penyampaian hadiah pemenang pertandingan ini telah disempurnakan oleh Dr. Nadia Shahira Amiruddin (Timbalan Pengarah Akademik dan Perkembangan Kanak-Kanak). Menurut beliau, “pertandingan inovasi ini menjadi platform untuk warga pendidik daripada pelbagai kategori berkongsi idea baharu yang mampu menyelesaikan isu semasa  khusunya berkaitan alam sekitar”.

“Pengalaman ini membuka peluang kepada pelajar-pelajar untuk memahami proses pengurusan program pendidikan kanak-kanak di peringkat universiti dan kebangsaan.” ujar beliau. 

Kerjasama ini memberi impak positif kepada semua pihak yang terlibat. Para pelajar dapat memahami pengurusan acara pendidikan sebenar yang mampu mengukuhkan portfolio mereka melalui penyertaan sebagai AJK dalam aktiviti WINN Innovation ini. 

Poster peserta
Poster peserta

Program ini memberikan suntikan signifikan kepada FPM apabila hubungan strategik bersama NCDRC bukan sahaja diperkukuh, malah membina jaringan profesional yang membuka lebih banyak peluang kolaborasi untuk masa hadapan. Pada masa yang sama, penglibatan FPM dalam program ini turut menonjolkan kepakaran fakulti dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak yang menampilkan imej sebuah institusi yang aktif, berautoriti dan diyakini. Lebih penting lagi program ini turut menambah nilai kepada kurikulum melalui pembelajaran berasaskan pengalaman pelajar.

Melalui kerjasama ini, NCDRC dapat memperluas jaringan dan keterlibatan bersama komuniti dan mengumpul idea inovasi baharu daripada peserta seluruh negara. penganjuran kali ini bukan sahaja berjaya memperkukuh hubungan antara fakulti dan NCDRC, tetapi turut memberi nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan modal insan UPSI.