Oleh: Sakinah Salleh

PPATTANI, THAILAND | 14 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan bertaraf antarabangsa apabila Yayasan Assalam Smart Schools menyatakan persetujuan untuk menghantar seramai 20 orang guru bagi menyertai Kursus Profesional Guru serta 40 orang pelajar sekolah menengah untuk mengikuti Kursus Bahasa Inggeris intensif selama tiga (3) minggu di UPSI.

Persetujuan strategik tersebut dicapai sempena sesi lawatan promosi universiti dan pengantarabangsaan UPSI ke Wilayah Selatan Thailand, sekali gus mencerminkan keyakinan rakan strategik antarabangsa terhadap kepakaran, kredibiliti serta reputasi UPSI dalam bidang pendidikan dan latihan profesional.

Delegasi UPSI yang diketuai oleh Pengarah Akademik UPSI yang Menjalankan Fungsi Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Profesor Madya Dr Ridzwan Che Rus, memaklumkan bahawa UPSI bersedia berkongsi kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang latihan pedagogi, pengurusan pendidikan serta pendigitalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada para guru yang terlibat.

“Kerjasama ini bukan sekadar pelaksanaan program latihan jangka pendek, malah merupakan satu platform pemindahan ilmu yang berimpak tinggi serta berupaya memperkukuh kompetensi profesional guru dan pembangunan akademik pelajar secara holistik,” ujar beliau.

Menurut Dr. Ridzwan, pelaksanaan program tersebut selari dengan aspirasi UPSI sebagai The National Education University yang komited melahirkan pendidik berkualiti tinggi serta memperluas jaringan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa.

“UPSI amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Yayasan Assalam Smart Schools. Kami melihat kolaborasi ini sebagai hubungan dua hala yang saling melengkapi dan mampu memberi manfaat berterusan kepada kedua-dua institusi,” tambah beliau.

Sesi lawatan berkenaan turut disertai oleh Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr Sakinah Salleh; Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Pembangunan Manusia, Profesor Madya Dr Norazilawati Abdullah; serta Ketua Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), Suhaila Sidek.

Sementara itu, Presiden Assalam Smart Schools, Dr Abdullah Yalla, menyatakan keyakinan bahawa kerjasama strategik ini akan memberikan pendedahan antarabangsa yang signifikan kepada guru dan pelajar di bawah naungan Yayasan Assalam.

Menurut beliau, program tersebut dijangka dapat meningkatkan profesionalisme guru serta memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris pelajar sebagai persediaan menghadapi cabaran pendidikan global.

Antara objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran pedagogi dan profesionalisme guru, memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, serta membina jaringan akademik yang mampan antara institusi pendidikan Malaysia dan Thailand.

Dari sudut impak, program ini dijangka menyumbang kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah, melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa, serta mengukuhkan reputasi UPSI sebagai rakan strategik pendidikan global.

Bagi memastikan kelestarian dan keberkesanan jangka panjang, beberapa cadangan penambahbaikan turut diketengahkan, antaranya peluasan tempoh latihan profesional, integrasi modul digital dan pendekatan blended learning, serta pelaksanaan program susulan seperti pemantauan pasca latihan dan kolaborasi penyelidikan dalam bidang pendidikan.

Kerjasama ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif pembangunan akademik dan profesional pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Thailand serta memberikan manfaat berterusan kepada kedua-dua pihak.