TANJUNG MALIM – Kerjasama strategik antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menjadi wadah penghargaan negara kepada para wira tanah air melalui Program e-Perkasa SPM, sebuah inisiatif pendidikan di bawah Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) yang mula dilaksanakan pada tahun 2024.

Jika ATM mempertahankan negara melalui peperangan fizikal, UPSI pula memainkan peranan memimpin “peperangan halus” dengan memperkasakan ilmu, sahsiah dan keyakinan diri generasi muda pertahanan negara sebagai kesinambungan jasa dan pengorbanan ibu bapa mereka.

Program ini adalah merupakan inisiatif daripada Menteri Pertahanan sendiri iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang telah diamanahkan kepada UPSI sebagai pelaksana. Prof dato Dr Md amin Md Taff selaku Naib Canselor UPSI amat berbesar hati memikul tanggung jawab yang besar ini.

Tahun 2025 menyaksikan seramai 652 anak-anak ATM dari seluruh negara menyertai program ini, yang diterajui oleh Dr. Azli bin Ariffin bersama empat pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, manakala UPSI Holdings Sdn. Bhd. bertindak sebagai rakan strategik pelaksana.

Pelaksanaan ini mencerminkan komitmen UPSI sebagai universiti pendidikan negara dalam memainkan peranan CSR dan pemindahan ilmu (knowledge transfer) kepada komuniti pertahanan, selaras dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memperluas akses pendidikan berkualiti kepada seluruh lapisan masyarakat.

Sepanjang tahun ini, pelajar mengikuti kelas atas talian bagi lima subjek teras SPM bersama Guru Cemerlang dan Guru Pakar, disokong oleh sistem mentor–mentee melibatkan 30 tutor UPSI yang menyediakan bimbingan dekat serta sokongan pembelajaran berfokus.

Penggunaan platform digital, modul latihan dan interaksi berjadual membolehkan pelajar menerima pendidikan secara konsisten walaupun berada di pelbagai negeri, sejajar dengan usaha kerajaan menyediakan ekosistem pembelajaran fleksibel dan inklusif.

Bagi memperkukuh aspek sahsiah, kemahiran belajar dan keyakinan diri, Kem Kecemerlangan e-Perkasa SPM telah dianjurkan pada 19 hingga 21 September 2025 di Kampus UPSI melibatkan 80 pelajar terpilih.

Sepanjang tiga hari dua malam, peserta mengikuti latihan intensif teknik menjawab soalan, aktiviti pembinaan jati diri, sesi motivasi, riadah di UPSI Adventure Park, lawatan ilmiah ke Muzium Pendidikan Nasional dan pendedahan suasana kampus melalui slot Jom Masuk U.

Penganjuran ini bukan sahaja mempersiapkan mereka menghadapi peperiksaan, tetapi turut menanam aspirasi untuk melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang pilihan masing-masing.

Program e-Perkasa SPM juga menjadi simbol kerjasama erat antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam menjayakan misi nasional melahirkan generasi pelajar yang berilmu, berdisiplin dan berdaya saing.

Melalui kerjasama antara universiti awam dan angkatan pertahanan negara, program ini membentuk satu model pendidikan holistik yang memanfaatkan kepakaran akademik UPSI serta nilai kepimpinan dan ketahanan ATM.

Berikutan sambutan tinggi dan keberkesanan pelaksanaan tahun ini, penganjuran 2026 disasarkan untuk meningkatkan penyertaan kepada 900 anak-anak ATM, dengan penambahbaikan meliputi penyeliaan modul secara lebih sistematik dan pembangunan portal khas untuk menyelaras bahan pengajaran, pemantauan pembelajaran dan komunikasi mentor–mentee dalam skala lebih besar.

Usaha ini dijangka mengukuhkan lagi impak pendidikan program sekaligus menyokong agenda kerajaan membangunkan modal insan yang mampu menyumbang kepada kemakmuran negara.

Kerjasama UPSI–ATM ini melambangkan penyatuan dua medan perjuangan: ATM mempertahankan negara melalui kekuatan fizikal, manakala UPSI memperkasa masa depan pewaris angkatan tentera melalui kekuatan ilmu. Sinergi ini bukan sahaja memberi peluang pendidikan berkualiti kepada komuniti pertahanan, tetapi juga membentuk generasi muda yang yakin, berdisiplin, patriotik dan bersedia menyumbang kepada kemajuan serta kesejahteraan negara.