Oleh: Mohd Faiz Zabri dan Nor Muhammad Hazim Mazuki
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mencatatkan kebanggaan apabila seramai 22 orang atlet pelajar bersama seorang pegawai telah terpilih untuk mewakili kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan SEA 2025 yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand, dari 9 hingga 20 Disember 2025.
Daripada jumlah tersebut, 21 orang atlet merupakan pelajar daripada Fakulti Sains Sukan & Kejurulatihan (FSSKJ), manakala seorang atlet merupakan pelajar dari Fakulti Sains & Matematik (FSM). Penglibatan daripada dua fakulti ini membuktikan betapa UPSI berjaya melahirkan atlet pelbagai bidang yang cemerlang dalam arena sukan.
Para atlet UPSI akan bersaing dalam pelbagai cabang sukan, antaranya baseball yang disertai oleh 6 orang pelajar, diikuti sofbol (3 orang), kayak (4 orang), olahraga (2 orang)dan bola baling (2 orang). Selain itu, UPSI turut diwakili oleh seorang atlet bagi setiap sukan berikut: kabaddi, floorball, bola tampar pantai, hoki ais dan sepak takraw.
Selain penglibatan atlet, seorang pegawai dari Pusat Sukan UPSI, iaitu En. Mohd Rizal bin Mohd Hashim, turut diberi tanggungjawab sebagai pegawai pengiring bagi sukan wall climbing dalam Temasya Sukan SEA 2025. Pelantikan ini membuktikan kepercayaan terhadap kepakaran dan profesionalisme warga UPSI dalam mengendalikan atlet di peringkat antarabangsa.

Pemilihan ini membuktikan tahap kecemerlangan serta komitmen tinggi para pelajar UPSI bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam arena sukan antarabangsa. Kejayaan ini turut mencerminkan keberkesanan pembangunan sukan yang dilaksanakan oleh universiti.
Seluruh warga UPSI menzahirkan rasa bangga dan terharu atas pencapaian luar biasa ini. Pihak universiti mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet dan pegawai yang terlibat serta mendoakan agar mereka dapat memberikan persembahan terbaik dan mengharumkan nama negara di pentas Sukan SEA 2025.
