Oleh:Nur Aqilah Mohd Aidill
Tanjung Malim , 16 Disember 2025 – Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) telah berjaya menganjurkan Program Membina Keterampilan Bakal Kaunselor 2.0 yang melibatkan semua pelajar Program Bimbingan dan Kaunseling sebagai usaha berterusan dalam membentuk bakal kaunselor yang berketerampilan, beretika dan profesional.

Program ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Program iaitu Cassandra Erynna Jimmy Jain, yang menekankan kepentingan pembangunan sahsiah, kemahiran interpersonal serta kesiapsiagaan pelajar kaunseling dalam menghadapi cabaran sebenar dunia kaunseling.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, khususnya barisan penceramah dan peserta.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Profesor Madya Dr Md. Noor Saper , yang menegaskan bahawa keterampilan seorang kaunselor bukan sahaja dinilai melalui ilmu teori, malah melalui sikap, komunikasi, empati dan etika profesional.
Beliau juga menekankan tentang A,S,K yang membawa maksud A-Attitude , S-Skills dan K-Knowledge kepada para pelajar agar sentiasa memperkukuh jati diri sebagai bakal kaunselor yang berintegriti dan berdaya saing.

Program ini turut diserikan dengan slot perkongsian oleh Encik Zulkifli Mamat, yang berkongsi pengalaman serta pandangan praktikal berkaitan pembinaan keterampilan diri dalam bidang kaunseling.
Slot ini memberi pendedahan bermakna kepada para peserta tentang realiti tugas kaunselor serta kepentingan kemahiran kendiri dalam mengurus klien secara berkesan.

Secara keseluruhan, Program Membina Keterampilan Bakal Kaunselor 2.0 telah mencapai objektif penganjurannya dengan jayanya.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat dari aspek pengetahuan dan kemahiran, malah berjaya menyemai kesedaran dalam kalangan pelajar tentang tanggungjawab dan peranan besar seorang kaunselor pada masa hadapan.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform pembangunan holistik pelajar kaunseling.

