Oleh: Nur Aqilah Mohd Aidill
Tanjung Malim, 19 Disember 2025 – Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) menganjurkan FPM Fit Week 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Disember 2025 dengan penuh semangat kesukanan dan kesepaduan warga fakulti.

Majlis pembukaan program dimulakan dengan perarakan masuk kontinjen yang melibatkan penyertaan pelajar daripada pelbagai jabatan di bawah FPM.Antara jabatan yang terlibat ialah ISMP Bimbingan dan Kaunseling , ISMP Pendidikan Awal Kanak-kanak , ISMP Pendidikan Khas dan ISM Psikologi .Perarakan ini bukan sahaja menceriakan suasana majlis, malah menjadi simbol semangat kerjasama, disiplin serta perpaduan dalam kalangan pelajar dan warga fakulti.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Muhammad Irfan Bakar selaku Pengarah Program FPM Fit Week 2025. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua jawatankuasa pelaksana serta para peserta yang telah memberi komitmen tinggi bagi menjayakan program ini. Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran FPM Fit Week bukan sekadar berfokus kepada aktiviti fizikal, malah bertujuan untuk membentuk gaya hidup sihat, keseimbangan emosi serta hubungan sosial yang positif dalam kalangan pelajar.

Majlis kemudian diserikan dengan ucapan perasmian oleh Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan selaku Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA). Dalam ucapannya, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran program berunsur kesihatan dan kecergasan seperti FPM Fit Week yang selari dengan usaha universiti dalam melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kesejahteraan diri. Beliau turut menyeru para pelajar agar memanfaatkan platform ini untuk mengukuhkan semangat kesukanan dan kebersamaan.

Di akhir majlis pembukaan, pihak penganjur turut menzahirkan harapan agar keseluruhan perjalanan FPM Fit Week 2025 yang berlangsung dari 19 hingga 21 Disember ini dapat berjalan dengan lancar, selamat serta mencapai objektif yang telah ditetapkan. Diharapkan program ini mampu memberi impak positif dan pengalaman bermakna kepada semua yang terlibat.
