Oleh: Muhammad Hazim bin Hamri

Tanjong Malim, 13 Disember 2025– Program Serve and Smash: “Aksi, Aspirasi, Aura”, iaitu sebuah pertandingan badminton, anjuran Exco Blok Kediaman 5 Kolej Harun Aminurrashid telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Disember 2025 iaitu hari pertama dan 13 Disember 2025 iaitu hari kedua bertempat di Dewan Harun Aminurrashid, KSAS, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini dijalankan untuk meningkatkan minat dan penyertaan pelajar dalam sukan badminton.

Seterusnya menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat, aktif dan seimbang dalam kalangan penghuni lelaki Kolej Harun Aminurrashid.

Selain itu, program ini juga bermatlamat untuk memberi platform kepada pelajar dalam mengasah bakat, mencungkil potensi serta menonjolkan aura dan keyakinan diri, melalui penyertaan dalam pertandingan dan aktiviti berkaitan sukan.

Pada hari pertama, program bermula dengan sesi pendaftaran peserta serta cabutan giliran. Seterusnya, taklimat ringkas dan sesi pemanasan badan dijalankan sebelum pertandingan pusingan pertama dimulakan melalui sistem liga yang melibatkan 12 perlawanan.

Setelah tamat pusingan awal pada jam 11.30 pagi, taklimat persediaan untuk hari kedua diberikan sebelum semua peserta bersurai.

Hari kedua dimulakan pada jam 8.00 malam dengan sesi pemanasan badan dan diteruskan dengan pusingan separuh akhir serta perlawanan akhir bagi menentukan pemenang.

 Setelah selesai semua perlawanan, majlis penutup program dimulakan dengan ketibaan Encik Mohd Izzat bin Abdul Rahman, Felo Blok Kediaman 5 selaku penasihat program.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Mohd Izzat Abdul Rahman, diikuti penyampaian hadiah kepada para pemenang. Majlis kemudian disempurnakan dengan sesi bergambar sebagai penutup rasmi program.

Semasa Pertandingan Serve And Smash
Penerimaan Hadiah kepada Pasukan Johan

Pengarah Program merangkap Exco Blok Kediaman 5, Hiranyan Ravichandran, menyatakan rasa syukur dan penghargaan atas komitmen semua pihak yang terlibat sepanjang pelaksanaan program Serve and Smash: “Aksi, Aspirasi, Aura”.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada barisan jawatankuasa pelaksana, para peserta serta pihak pengurusan kolej yang sentiasa memberikan sokongan penuh.

Menurutnya, program ini bukan sahaja menggalakkan penglibatan dalam aktiviti sukan, tetapi turut mengukuhkan hubungan antara penghuni kolej melalui semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama yang ditonjolkan.

Program Serve and Smash: “Aksi, Aspirasi, Aura” telah berlangsung dengan lancar dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.

Penganjuran ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dan semangat kesukanan, malah turut mengeratkan hubungan antara penghuni kolej. Secara keseluruhan, program ini memberikan impak positif dan wajar diteruskan pada masa hadapan.