Murid pendidikan khas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bergambar bersama hasil terrarium yang telah dipelajari dan dihasilkan sendiri sepanjang sesi pembelajaran berasaskan alam

Oleh: Ts.Dr. Mohd Amirul Hussain, Olive Faith anak Hollis Micky Langgi & Muhammad Haiqal Md Ridzuan

TANJONG MALIM – Alam semula jadi bukan sekadar elemen persekitaran, malah berperanan sebagai medium terapi dan pembelajaran yang berkesan, khususnya kepada murid pendidikan khas. Pendekatan ini diterjemahkan menerusi pelaksanaan Projek Terrarium yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim (SKTM) hasil inisiatif mahasiswa dengan kerjasama erat pihak sekolah.

Projek berkenaan dilaksanakan oleh dua orang mahasiswa, Olive Faith anak Hollis Micky Langgi dan Muhammad Haiqal Md Ridzuan, di bawah bimbingan Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain, serta sokongan guru-guru pendidikan khas dan pihak pengurusan sekolah sepanjang tempoh pelaksanaan program.

Inisiatif ini memberi tumpuan kepada murid pendidikan khas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sebagai usaha memperkenalkan pendekatan pembelajaran alternatif yang lebih selamat, terkawal dan mesra keperluan murid. Seramai 18 orang murid PPKI terlibat secara langsung dalam sesi pembinaan terrarium yang dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat selama hampir 14 minggu.

Pemilihan terrarium sebagai medium terapi alam dibuat kerana sifatnya yang kecil dan mudah dikawal. Melalui penggunaan bekas lutsinar, murid berpeluang berinteraksi dengan elemen alam seperti tanah, tumbuhan dan air dalam persekitaran yang terurus, sekali gus memudahkan pemantauan oleh guru serta fasilitator.

Menurut Dr. Mohd Amirul, pendekatan berasaskan terrarium ini membantu murid belajar melalui pengalaman sebenar.

“Melalui aktiviti menyusun tanaman, menyentuh bahan semula jadi dan memerhati pertumbuhan tumbuhan, murid dapat merangsang deria, meningkatkan fokus serta mengalami kesan emosi yang lebih tenang,” katanya.

Fasilitator membimbing murid PPKI mengasah deria sentuhan dengan merasai tekstur tanah dan bahan semula jadi sebelum memulakan aktiviti pembinaan terrarium

Sepanjang pelaksanaan program, murid terlibat secara aktif dalam setiap peringkat, bermula daripada penyediaan bahan, penyusunan elemen terrarium sehinggalah kepada penjagaan asas seperti menyiram tanaman. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah membantu meningkatkan kemahiran motor halus, kesabaran dan keyakinan diri murid.

Selain berfungsi sebagai medium terapi, projek ini turut menyokong pembelajaran tidak formal dalam bilik darjah. Murid didedahkan kepada konsep asas sains seperti keperluan tumbuhan, kitaran hidup dan kepentingan penjagaan alam sekitar melalui aktiviti hands-on, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna.

Projek Terrarium ini turut membuktikan bahawa hasil projek tahun akhir mahasiswa mampu memberi manfaat sebenar apabila dilaksanakan bersama komuniti. Pendekatan ini memastikan ilmu dan kreativiti mahasiswa dimanfaatkan secara langsung oleh murid PPKI sebagai medium terapi dan pembelajaran.

Guru-guru pendidikan khas SKTM, yang dibimbing oleh Cikgu Nor Herlina Irrianty Basiran, menyambut baik pelaksanaan projek ini kerana ia memberi nilai tambah kepada kaedah pengajaran sedia ada. Secara keseluruhan, Projek Terrarium di SKTM membuktikan bahawa alam semula jadi boleh dijadikan medium terapi dan pembelajaran yang berkesan, di samping memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat.