Oleh : Amiratul Balqis All Ashari
TANJONG MALIM– Suasana di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertukar lebih bermakna apabila Kempen Keselamatan #SAFECAMPUSRIDE anjuran Unit Kediaman Luar Kampus (UPSI) yang diadakan pada 07 Januari 2026 berlangsung dengan jayanya.
Program ini dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan mahasiswa dan warga kampus.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob, yang menekankan bahawa keselamatan jalan raya bukan sahaja tanggungjawab individu tetapi satu keperluan untuk kesejahteraan semua warga universiti.



Dalam ucapan beliau berkata, pematuhan terhadap peraturan jalan raya dalam kampus dan kesedaran terhadap keselamatan diri serta orang lain adalah aspek penting yang perlu diterapkan sejak di bangku universiti. Kempen ini merupakan langkah proaktif untuk memastikan budaya keselamatan dapat dibudayakan secara berterusan.
Sementara itu, Pengarah Program Kempen Keselamatan Jalan Raya #SAFECAMPUSRIDE, Fatin Syahirah Yuni Azuar, berkata bahawa penganjuran kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan warga kampus, khususnya pelajar, terhadap kepentingan keselamatan jalan raya.
Beliau berharap agar kempen ini dapat membentuk budaya pemanduan yang lebih selamat, berhemah dan bertanggungjawab dalam kalangan warga universiti.



Antara pengisian utama program ialah aktiviti pengedaran poster kesedaran kempen keselamatan jalan raya di sekitar kawasan KSAJS, UPSI, yang berfungsi sebagai medium penyampaian maklumat keselamatan jalan raya secara berkesan kepada warga kampus serta meningkatkan tahap kesedaran dan keprihatinan terhadap keselamatan diri ketika berada di jalan raya.
Selain itu, peserta turut mengikuti slot ceramah yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak, Encik Mohamad Norazlee Mohd Radzi, membincangkan kepentingan mematuhi peraturan jalan raya, keselamatan pemandu dan pengguna, serta isu-isu trafik terkini.


Program ini juga menampilkan pameran oleh JPJ Negeri Perak dan Institut Memandu Kenderaan (I.M.K) Tanjong Malim, yang menyediakan maklumat interaktif mengenai keselamatan jalan raya, demonstrasi alat keselamatan, serta aktiviti pendidikan yang menarik untuk para mahasiswa.
Selain itu, program turut menampilkan slot penyampaian kupon minyak petrol oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin, kepada para pelajar yang boleh ditebus di stesen minyak PETRONAS Tanjong Malim, sebagai galakan dan sokongan terhadap amalan keselamatan jalan raya serta keprihatinan universiti terhadap kebajikan pelajar.
Profesor Dr. Norkhalid Salimin turut menyifatkan Kempen Keselamatan Jalan Raya #SAFECAMPUSRIDE sebagai inisiatif yang tepat dan memberi manfaat besar kepada warga universiti. Beliau berkata program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, malah membantu membentuk sikap pemanduan berhemah dan bertanggungjawab dalam kalangan pelajar.


Sebagai penutup, program diakhiri dengan slot konvoi keselamatan bersama para peserta dan pihak Bahagian Keselamatan (BKes), UPSI. Slot ini turut diserikan dengan demonstrasi motor berkuasa tinggi serta tunggang motosikal secara berhemah dan selamat oleh anggota polis trafik IPD Muallim, yang mempamerkan teknik pengendalian motosikal, pematuhan peraturan jalan raya serta langkah pencegahan kemalangan.
Adalah diiharapkan program Kempen Keselamatan #SAFECAMPUSRIDE dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai mahasiswa serta pihak berkepentingan lain. Inisiatif ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, melalui usaha pencegahan kemalangan dan perlindungan nyawa, serta SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, dengan menyokong pembentukan persekitaran universiti yang selamat, berdaya huni, bertanggungjawab dan berdisiplin.
