Oleh: Najwa Syahindah

Pulau Langkawi, 9 Januari 2026 – Alam tidak menuntut janji, sebaliknya tindakan. Berteraskan kesedaran ini, Exco Uniti dan Diversiti, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sesi 2025/2026 telah berjaya menganjurkan Program ECOVIBE: Biodiversiti Kita, “Satu Bumi, Satu Harapan” sebagai platform mahasiswa menyemai cinta terhadap biodiversiti dan kelestarian bumi. Program berteraskan kesukarelawanan alam sekitar ini melibatkan mahasiswa UPSI seramai 45 orang yang mengangkat peranan mahasiswa sebagai agen perubahan dalam usaha memelihara khazanah alam semula jadi negara.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Januari 2026 ini bertujuan meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan keseimbangan ekosistem darat dan marin. Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, program ini bukan sahaja memberi pendedahan tentang biodiversiti, malah memupuk rasa tanggungjawab, keprihatinan serta kecintaan terhadap alam sekitar yang semakin terancam akibat aktiviti manusia. Penganjuran program ini turut dikukuhkan melalui kerjasama strategik bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), UNESCO Global Geopark, Koperasi Nelayan Sungai Kubang Badak, DOKTEDOBI, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Pusat Islam serta UPSI Holdings, sekali gus menyokong usaha pemerkasaan ekopelancongan dan pembangunan ekonomi hijau yang lestari di Langkawi UNESCO Global Geopark..

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program ini, merangkumi aspek pendidikan, pemuliharaan dan kesukarelawanan alam sekitar. Antaranya termasuklah aktiviti penanaman pokok bakau di Kubang Badak Biogeotrail yang bertujuan memelihara ekosistem paya bakau sebagai benteng semula jadi dan habitat biodiversiti. Selain itu, peserta turut berpeluang menyertai aktiviti penanaman terumbu karang di Pulau Jemuruk, di mana fasilitator marin memberikan taklimat sebelum peserta bergilir melakukan semaian terumbu karang.

Program ini turut diperkaya dengan aktiviti river cruise eko pendidikan yang membawa peserta menyusuri kawasan Kubang Badak, termasuk lawatan geotapak iaitu Kampung Siam sekali gus memberi pendedahan secara langsung tentang keunikan geologi dan biodiversiti setempat. Tidak ketinggalan, sesi perkongsian bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mengenai pengenalan UNESCO Global Geopark telah membuka ruang pemahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan pemeliharaan warisan alam sebagai aset negara dan dunia.

Dalam ucapan aluan oleh Pengarah Program, Hasya Hayazi menyatakan rasa syukur atas kejayaan pelaksanaan program ini serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama. Beliau turut menegaskan bahawa program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem darat dan laut melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti pemuliharaan, sekali gus membentuk kesedaran, tanggungjawab serta jati diri mahasiswa yang lebih berwawasan.

“Program ini merupakan satu inisiatif berimpak tinggi dalam memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, khususnya biodiversiti darat dan marin,” ucap Profesor Dr. Mohd Nizam Hj Nasrifan, Pengetua Kolej Ungku Omar dalam ucapannya, sekali gus merasmikan pelaksanaan program tersebut.

Tema “Satu Bumi, Satu Harapan” menekankan bahawa bumi adalah milik bersama dan kelestariannya bergantung pada tindakan kolektif semua pihak. Program ini bukan sekadar aktiviti lapangan, malah menjadi platform pembentukan jati diri mahasiswa yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan berwawasan, sekali gus membuktikan kesediaan mereka menyumbang secara langsung dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

ECOVIBE: Biodiversiti Kita, “Satu Bumi, Satu Harapan” membuktikan bahawa perubahan bermula apabila kesedaran diterjemahkan kepada tindakan. Dengan langkah kecil yang digerakkan bersama, harapan untuk melindungi biodiversiti dan kelestarian bumi bukan lagi sekadar impian, tetapi sebuah komitmen yang hidup dalam jiwa generasi muda.