Oleh : Nur Balqis Hezelyn & Ronie
FELDA Trolak Utara, 23 April 2026 – Berteraskan semangat kebersamaan dan nilai kesukarelawanan, program Aroma Santara: Sehidang Rasa, Sejiwa Budaya dibawah anjuran Exco Jaringan Komuniti dan Antarabangsa, Kolej Ungku Omar yang berteraskan warisan kulinari berjaya dijalankan di FELDA Trolak Utara dengan menggabungkan elemen kulinari Malaysia-Indonesia serta kesukarelawanan komuniti dalam satu inisiatif yang menyeluruh dan bermakna.
Program ini mengetengahkan tema “Sehidang rasa, Sejiwa Budaya”, dengan fokus utama kepada penggabungan warisan masakan dari Malaysia dan Indonesia. Para peserta berpeluang meneroka keunikan kedua-dua budaya melalui penyediaan hidangan fusion yang kreatif, sekali gus memperkukuh hubungan serantau melalui seni kulinari. Para peserta terdiri daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universitas Pendidikan Indonesia, Universitas Bina Darma dan penduduk Felda Trolak Utara. Kepelbagaian latar belakang peserta telah memicu kepada penghasilan sebuah gabungan seni kulinari yang menarik.



Selain aktiviti kulinari, program ini juga menitikberatkan aspek kesukarelawanan komuniti. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong bersama penduduk FELDA serta usaha penanaman pokok dan bunga-bungaan di sekitar kawasan setempat. Inisiatif ini bertujuan untuk memperindah persekitaran serta menyemai kesedaran tentang kepentingan kelestarian alam sekitar dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi.
Program ini juga diserikan dengan pertandingan penyediaan hidangan fusion yang melibatkan kerjasama antara mahasiswa dan penduduk FELDA. Aktiviti ini bukan sahaja menguji kreativiti peserta, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan serta memupuk semangat kerjasama dalam suasana yang santai dan penuh muhibah.
Menurut Pengerusi Majlis Felo Kolej-Kolej Kediaman, ChM. Dr Mohamad Saufi Bin Rosmi, beliau amat menghargai sambutan mesra oleh pihak FELDA serta komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung. “Kerjasama yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat untuk melancarkan program ini amatlah mengharukan dan patut dicontohi oleh semua lapisan masyarakat. Program ini juga menjadi jambatan yang menyatukan budaya dan komuniti melalui aktiviti yang dirancang sekaligus menyemai semangat kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan peserta”.


“Program ini merupakan program memasak pertama yang dijalankan di Felda Trolak dan ianya merupakan sebuah program yang amat unik dan sememangnya perlu dijalankan pada program-program lain di masa hadapan.” ujar En. Md Shukri bin Napie, Pengurus FELDA Trolak dalam ucapan beliau.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sekadar program berasaskan masakan, tetapi juga medan pertukaran budaya dan nilai kemanusiaan. Melalui penglibatan aktif pelbagai pihak, program ini berjaya memperkukuh jalinan hubungan antara komuniti Malaysia dan Indonesia serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan peserta dan komuniti setempat.

