Oleh: Syrelyn, Insyirah & Maisarah
Tanjong Malim, 22 April 2026 – Keindahan warisan seni tari terus diperkasa melalui penganjuran Bengkel Titian Tari yang berlangsung dengan penuh meriah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program anjuran Exco Warisan Seni dan Budaya, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2025/2026 ini berjaya menghimpunkan mahasiswa tempatan dan antarabangsa dalam satu platform seni yang memupuk apresiasi budaya serta memperkukuh jalinan rentas sempadan.



Bengkel ini menampilkan keunikan tarian tradisional Zapin dari Malaysia yang dikongsi oleh wakil mahasiswa UPSI iaitu dari kumpulan Destar Limar sekaligus memperlihat keindahan gerak tari yang lemah gemalai, berirama serta sarat dengan nilai warisan Melayu. Para peserta turut diberi pendedahan secara langsung mengenai asas pergerakan zapin, termasuk langkah asas, koordinasi badan serta penghayatan muzik yang menjadi elemen penting dalam tarian tersebut.
Lebih menarik, bengkel ini turut diserikan dengan penglibatan delegasi dari Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) yang berkongsi seni tari tradisional dari Indonesia. Para wakil UPI bukan sahaja mempersembahkan tarian mereka, malah turut membimbing peserta dalam mempelajari teknik dan gaya pergerakan yang unik, sekaligus membuka ruang pertukaran ilmu seni yang lebih mendalam antara dua negara serumpun.
Perkongsian dua hala ini telah memperlihatkan persamaan dan keunikan dalam seni tari Malaysia dan Indonesia, khususnya dari segi nilai estetika, simbolik budaya serta peranan tarian sebagai medium penyatuan masyarakat. Interaksi aktif antara peserta juga telah mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, santai dan penuh semangat kebersamaan.



Selain menjadi medium pemeliharaan warisan seni, bengkel ini turut berperanan sebagai platform pembangunan sahsiah mahasiswa melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kebudayaan. Ia secara tidak langsung menyemai rasa cinta terhadap warisan bangsa di samping membentuk generasi muda yang lebih menghargai kepelbagaian budaya.
Bengkel Titian Tari berjaya mencapai objektifnya sebagai wadah memperkukuh hubungan budaya dan memperkasa seni warisan dalam kalangan mahasiswa. Program ini membuktikan bahawa seni tari mampu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat merentasi sempadan, sekaligus menyumbang kepada pembentukan komuniti global yang lebih harmoni dan berbudaya.

