Gambar semua warga sekolah bersama ibu bapa muridGambar semua warga sekolah bersama ibu bapa murid

oleh: Dr. Kama Shaffeei & Siti Fatimah Mohamed

TANJUNG MALIM, 12 Januari 2026 – Suasana ceria dan penuh keterujaan menyelubungi Sekolah Rendah Seri Budiman apabila murid-murid kembali ke sekolah bagi memulakan sesi persekolahan tahun 2026, hari ini.

Kehadiran murid pada hari pertama jelas mencerminkan semangat dan kegembiraan mereka untuk memulakan sesi pembelajaran baharu selepas cuti persekolahan. Wajah ceria dan keterujaan murid-murid menyerikan persekitaran sekolah sejak awal pagi. Ibu bapa juga turut hadir bagi mengiringi anak-anak dan bersama-sama memeriahkan suasana hari pertama persekolahan.

Hari pertama persekolahan turut diserikan dengan kehadiran Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), wakil-wakil daripada Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (NiCE) serta UPSI Holdings Sdn. Bhd., sekali gus mencerminkan sokongan pelbagai pihak terhadap pembangunan dan kemajuan sekolah.

Turut hadir ialah wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Encik Shahrizan Effendi bin Saari, Penolong Pengarah, Unit Pendidikan Swasta, Sektor Pengurusan Sekolah, yang hadir bagi meninjau pelaksanaan dan kelancaran hari pertama persekolahan.

Ucapan aluan dari Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)
Sesi bacaan ikrar
Sesi pertemuan Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar bersama Encik Shahrizan Effendi bin Saari

Pada masa yang sama, pihak sekolah turut memperkenalkan Chief of Education yang baharu, iaitu Encik Norazam bin Mat Isa, bagi menerajui hala tuju akademik sekolah pada sesi persekolahan kali ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak sekolah turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dr. Kama bin Shaffeei atas sumbangan dan khidmat bakti beliau sebagai Chief of Education sepanjang tempoh dua tahun pengoperasian sekolah, bermula 1 Januari 2024 hingga 1 Januari 2026.

Secara keseluruhan, sesi persekolahan hari pertama berjalan dengan lancar dan teratur, dengan murid-murid hadir ke sekolah dalam keadaan gembira dan bersemangat, sekali gus menandakan permulaan yang positif bagi sesi akademik 2026 di Sekolah Rendah Seri Budiman.