Oleh: Bennie Wesley anak Boniface Unting dan Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
Tanjong Malim, 11 Januari 2026 – Program UPSI Volleyball Mix Championship 2026 telah berjaya dianjurkan oleh pelajar kursus Bola Tampar kumpulan B (CSG2011) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah bimbingan pensyarah, Puan Nazratul Husna Binti Abdul Manan. Kejohanan ini berlangsung di Gelanggang Bola Tampar KSAS (Arena) dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang.
Penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan, mengeratkan hubungan silaturahim serta meningkatkan semangat kerjasama dalam kalangan peserta. Menariknya, program ini bukan sahaja melibatkan pelajar universiti, malah turut membuka penyertaan kepada komuniti sekitar Daerah Muallim dan masyarakat luar, sekali gus mengukuhkan hubungan antara universiti dan masyarakat setempat.
Sebanyak 10 pasukan campuran lelaki dan wanita telah mengambil bahagian dalam kejohanan ini. Sepanjang pertandingan berlangsung, para peserta menunjukkan komitmen yang tinggi, disiplin yang baik serta semangat kesukanan yang positif. Kerjasama berpasukan yang ditonjolkan jelas mencerminkan nilai-nilai murni yang ingin diterapkan melalui aktiviti sukan.

Sebagai penghargaan terhadap usaha dan pencapaian pasukan, hadiah telah disampaikan kepada tiga pasukan terbaik yang meraih tempat johan, naib johan dan tempat ketiga. Penyampaian hadiah ini turut menjadi simbol pengiktirafan terhadap semangat juang dan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh para peserta.
Secara kesimpulannya, penganjuran UPSI Volleyball Mix Championship 2026 telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan berkesan. Program ini bukan sahaja memupuk semangat kesukanan dan kerjasama dalam kalangan peserta, malah berjaya mengeratkan hubungan antara pelajar UPSI dan komuniti setempat. Kejohanan ini juga memberi pendedahan serta pengalaman berharga kepada para penganjur dalam mengurus dan melaksanakan program sukan secara profesional, sekali gus menyumbang ke arah pembudayaan gaya hidup sihat dan aktif dalam masyarakat.
