Oleh: Nur Rusydina Ramli & Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail
TANJUNG MALIM, 13 Januari – Persatuan Geografi sidang 2025/2026 (PERGEO) dengan kerjasama mahasiswa AT33 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Geografi semester tujuh berjaya menganjurkan Program Geoforest Final Chapter: An Elegant Farewell, sebagai majlis penutup rasmi buat pelajar batch Geoforest sebelum melangkah ke fasa Latihan Mengajar.
Program anjuran Exco Akademik dan Kerjaya PERGEO itu diadakan sebagai penghargaan terhadap perjalanan akademik mahasiswa selain mengukuhkan hubungan silaturahim antara pelajar dan pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Penganjuran program ini selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti yang menekankan pembangunan sahsiah, kesiapsiagaan profesional serta pembelajaran sepanjang hayat. Kerjasama erat antara mahasiswa dan pensyarah turut menyokong SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat melalui sinergi pelbagai pihak dalam menjayakan program berimpak tinggi.


Program yang berlangsung di Dewan Kuliah C itu bermula dengan ketibaan peserta sekitar jam 8 malam, diikuti kehadiran tetamu kehormat pada jam 8.30 malam. Majlis dimulakan dengan perarakan masuk tetamu jemputan, nyanyian Lagu Negaraku, sesi fotografi serta bacaan doa.
Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Penasihat Persatuan Geografi sidang 2025/2026, Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail, yang menzahirkan penghargaan terhadap dedikasi dan komitmen mahasiswa batch Geoforest sepanjang penglibatan mereka dalam aktiviti persatuan dan akademik.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkomersialan, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kesiapsiagaan mental, nilai profesionalisme serta tanggungjawab sebagai bakal pendidik ketika menjalani latihan mengajar di sekolah kelak.




Program turut menampilkan ucapan wakil pelajar Geoforest yang berkongsi pengalaman serta kenangan sepanjang tempoh pengajian. Majlis diteruskan dengan sesi penyerahan hadiah kepada penyelia Projek Tahun Akhir (FYP) sebagai tanda penghargaan atas bimbingan dan sokongan yang diberikan.
Kemuncak majlis diserikan dengan sesi bersalam-salaman antara mahasiswa dan pensyarah dalam suasana penuh emosi. Detik perpisahan itu jelas meninggalkan kesan mendalam apabila ada mahasiswa yang tidak dapat menahan sebak, mencerminkan hubungan erat yang terjalin sepanjang perjalanan akademik mereka.
Seramai 76 orang mahasiswa semester tujuh batch Geoforest serta 12 orang pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar hadir memeriahkan program berkonsep kekeluargaan itu, sekali gus mencipta kenangan bermakna sebelum mahasiswa melangkah ke alam latihan mengajar.
Secara keseluruhan, Program Geoforest Final Chapter: An Elegant Farewell berjaya mencapai objektifnya sebagai platform perpisahan yang signifikan, selain menjadi pemangkin semangat dan motivasi kepada mahasiswa Geoforest dalam meneruskan perjalanan sebagai bakal pendidik.
