Oleh Dr Harnani Mat Zin
Kuching, 24 Januari 2026 — Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK Sarawak) dengan kerjasama National Child Development and Research Centre (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Kursus Latihan National Child Data Centre Certified Trainer (NCT) yang melibatkan seramai 36 orang peserta terdiri daripada pegawai KPWK dan wakil-wakil agensi pusat asuhan dan didikan kanak-kanak (TASKA) seluruh negeri Sarawak.
Antara wakil agensi yang hadir adalah terdiri daripada pegawai dan pendidik dari agensi seperti SeDidik, KEMAS, JPNIN, PERMATA, JKM, Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPMIS), serta Persatuan Pengasuh Berdaftar Sarawak (PPBS). Kursus ini berlangsung selama dua hari (24 – 25 Jan 2026) di Kuching, Sarawak.
Penganjuran kursus ini bertujuan untuk memastikan pelaksanaan sistem NCDC 2.0 dilaksanakan secara seragam, selaras dengan keperluan dan piawaian pengurusan data kanak-kanak di peringkat kebangsaan. Kursus ini juga berperanan sebagai medium penyelarasan kefahaman dalam kalangan pengendali TASKA dan agensi berkaitan berkaitan penggunaan dan pengurusan sistem NCDC.


Pelaksanaan sistem NCDC memerlukan tahap kefahaman yang tinggi dan seragam dalam kalangan pengendali TASKA. Selain itu, kursus ini memberi penekanan kepada pendekatan bimbingan yang berstruktur dan berfasa, bagi membantu TASKA memahami serta mengaplikasikan sistem NCDC 2.0 secara berkesan, berbanding pendekatan berbentuk arahan teknikal semata-mata. Justeru, langkah strategik dalam memperkukuh perkhidmatan asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak di negeri Sarawak.
Pengarah NCDRC, Profesor Madya Dr Mazlina Che Mustafa , memaklumkan bahawa kursus ini bertujuan untuk melahirkan Jurulatih Sistem NCDC 2.0 bertauliah yang berperanan sebagai penghubung utama antara NCDRC dan TASKA di peringkat negeri dan daerah.
“Peserta yang dilatih melalui kursus ini akan menjadi jurulatih bertauliah untuk membuat latihan berkaitan penggunaan NCDC 2.0 kepada pengguna. Selain itu, mereka juga turut menjadi rujukan utama kepada TASKA dalam pelaksanaan sistem NCDC 2.0, seterusnya membantu memperkukuh pemantauan, pengurusan serta pelaporan data kanak-kanak secara sistematik dan bersepadu,” tambah beliau.


Selain itu, Pengarah NCDRC turut menyatakan bahawa kerjasama strategik bersama KPWK mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong agenda nasional berkaitan kebajikan, perlindungan, dan pembangunan kanak-kanak, khususnya di negeri Sarawak.
“NCDRC, UPSI sentiasa komited untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam memastikan sistem NCDC 2.0 ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pangkalan data nasional yang menyokong perancangan, pemantauan, dan pembangunan kesejahteraan kanak-kanak,” jelas beliau.
Usaha ini juga dijangka dapat memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan negeri, institusi pendidikan, dan pengendali TASKA demi memastikan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan.
Diharapkan agar para jurulatih yang telah ditauliah melalui kursus ini akan dapat melaksanakan dan memperluaskan kursus berkaitan penggunaan sistem NCDC 2.0 pada masa akan datang, seterusnya menyokong pelaksanaan sistem ini secara menyeluruh dan berterusan, khususnya di negeri Sarawak.
