Oleh: Reeza Fahmi, Nur Kyra Elisya, Rabiatul Adawiah
Tanjong Malim, 16 Disember 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi sidang 2025/2026 telah melaksanakan program beramah mesra bersama penghuni kolej yang dikenali sebagai Malam Bersama Felo Blok B pada 16 Disember 2025.
Program ini melibatkan penyertaan penghuni Kolej Aminuddin Baki, khususnya penghuni Blok Bravo (B), dengan tujuan untuk memberi penerangan berkaitan peraturan dan tata tertib di kolej kediaman.
Selain itu, program ini turut berperanan sebagai platform sesi suai kenal antara felo dan penghuni blok kediaman. Melalui pelaksanaan program ini, hubungan silaturahim antara felo dan penghuni dapat diperkukuhkan.
Di samping itu, penghuni turut diberikan ruang untuk berkongsi pandangan, pengalaman serta permasalahan yang dihadapi sepanjang menetap di kolej kediaman bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian kehidupan di asrama dapat dikekalkan dari semasa ke semasa
Kehadiran peserta seramai 300 yang terdiri daripada barisan Felo Kolej, Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki, serta penghuni Kolej Aminuddin Baki Blok Bravo (B) ini dikira memberansangkan kerana ia mencerminkan komitmen serta sokongan padu warga kolej terhadap pelaksanaan program berbentuk pembangunan sahsiah dan pengukuhan hubungan antara pengurusan kolej dan penghuni.
Program Malam Bersama Felo Blok B ini telah bermula seawal jam 8.30 malam dengan ucapan alu-aluan daripada pengacara majlis.

Seterusnya, program ini diteruskan dengan dua sesi utama, iaitu sesi pertama melibatkan perkenalan antara felo dan penghuni kolej bagi mewujudkan suasana mesra serta mengeratkan hubungan silaturahim. Manakala sesi kedua pula memberi penekanan kepada penerangan berkaitan peraturan dan tata tertib kolej kediaman yang perlu dipatuhi oleh para penghuni.
Pelaksanaan program ini diharapkan dapat memberikan impak yang positif kepada penghuni kolej, khususnya dalam memperkukuhkan hubungan antara pihak pengurusan kolej dan para penghuni.
Selain itu, program ini turut berperanan sebagai medium untuk menerapkan nilai tanggungjawab, disiplin serta kesedaran dalam menjaga kebersihan diri, ruang kediaman dan kawasan persekitaran kolej.
Secara keseluruhannya, program ini dilihat mampu mewujudkan suasana kehidupan berasrama yang lebih harmoni dan kondusif, sekali gus menyumbang kepada pembentukan sahsiah pelajar yang berdisiplin dan bertanggungjawab serta memperkasa imej Kolej Aminuddin Baki sebagai kolej kediaman yang berdaya saing dan berintegriti.
