OLEH : PROFESOR MADYA DR. MAZLINI ADNAN, DR RAMADONI DAN NUR AISYAH ASWANI MOHD ASRI
JAKARTA – Menggalas misi sebagai duta ilmu, Profesor Madya Dr. Mazlini Adnan telah memahat satu lagi pencapaian signifikan buat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui pelantikan beliau sebagai visiting researcher di Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN)Indonesia. Kehadiran beliau bermula 15 Januari sehingga 14 Februari 2026 di Jakarta bukan sekadar pengiktirafan individu, malah merupakan satu lonjakan strategik dalam memartabatkan pendidikan patematik di peringkat global.
Dalam tempoh sebulan yang penuh tekad Dr. Mazlini menumpukan kepakaran beliau dalam merungkai liku-liku Pendidikan Matematik. Fokus penyelidikan beliau di BRIN adalah untuk menyatupadukan elemen pedagogi moden dengan keperluan industri, sekali gus memastikan literasi numerasi dalam kalangan generasi masa hadapan mencapai tahap yang optimum. Kolaborasi ini merupakan satu usaha asimilasi silang budaya bagi meneroka metodologi pengajaran matematik yang lebih futuristik dan inklusif.


Nadi utama kepada program ini adalah penghasilan penerbitan artikel bersama yang berimpak tinggi. Sinergi ini diterjemah melalui mesyuarat teknikal pada setiap hari selasa, di mana wacana kritis dijalankan bagi memastikan setiap naratif penyelidikan memenuhi piawaian yang ditetapkan. Dr. Mazlini bersama rakan penyelidik di BRIN melakukan penyelidikan bersama yang bersifat empirikal, memfokuskan kepada problemsolving dan pemikiran aras tinggi atau lebih dikenali sebagai Higher Order Thinking Skills (HOTS) dalam domain matematik.
Kolaborasi ini mendapat sentuhan ampuh daripada Dr. Ramadoni, selaku individu utama Person in Charge di pihak BRIN. Gabungan kepakaran antara kedua-dua tokoh ini telah mewujudkan satu ekosistem penyelidikan yang dinamik, di mana pertukaran idea dan teknikal kajian dilakukan secara intensif demi melahirkan output yang mampu menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.
Salah satu pengisian paling signifikan adalah sesi sharing session berkaitan Degree-Based Research (DBR). Dalam sesi ini, Dr. Mazlini mengupas secara mendalam mengenai penyelidikan yang melibatkan program akademik—terutamanya peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di mana ia menumpukan kepada penyelidikan kendiri di bawah penyeliaan, bukannya kerja kursus tradisional. Program ini memerlukan penghasilan tesis atau disertasi yang signifikan dan menyumbang secara asli kepada sesuatu bidang, sekali gus melengkapkan pelajar dengan kemahiran untuk kerjaya dalam akademia, industri, atau penyelidikan.


Misi intelektual ini menjadi bukti sahih betapa UPSI tidak pernah lelah dalam memahat nama di puncak menara gading dunia. Kehadiran Dr. Mazlini Adnan di BRIN telah menyemarakkan lagi api kolaborasi strategik yang melangkaui sempadan nusantara. Impaknya, citra Pendidikan Matematik Malaysia kini bukan sahaja mekar dalam kerangka akademik tempatan malah memancarkan sinar kecemerlangan yang lebih dinamik di peringkat sejagat.

