oleh : Adibah Yasmin Abdul Razak
TANJONG MALIM, 24 Februari 2026 – Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI telah menganjurkan Program Edaran Air Kasih Ramadan pada 6 Ramadan 1447H dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UPSI.
Program ini diadakan sebagai inisiatif menyemarakkan bulan Ramadan serta menyantuni warga kampus melalui pengagihan minuman kepada pelajar dan kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Antara minuman yang diagihkan termasuk air detox soda lemon, air jagung, air keladi aiskrim dan teh ais kaw cincau. Persiapan bermula pada 12.30 tengah hari bagi persiapan bancuhan air mengikut menu yang telah ditetapkan.
Edaran bermula seawal jam 4.30 petang di pintu masuk Kampus Sultan Azlan Shah dan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Sebanyak 250 minuman berjaya diagihkan sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan dalam mengimarahkan Ramadan, sekali gus mencerminkan semangat ukhuwah dalam kalangan warga universiti.
Program ini turut menjadi platform pelancaran Kempen Sedekah WEZAS yang memfokuskan kepada empat skim bantuan utama, iaitu Bantuan Barakah Food, Bantuan Musibah, Bantuan Penyakit Kronik serta Bantuan Anak Yatim dan Bekas Kakitangan.

Inisiatif ini juga selari dengan usaha memperkukuh kebajikan warga kampus dan menegakkan syiar Islam serta konsep fi sabilillah.
WEZAS berharap seluruh warga UPSI terus menyokong dan menyumbang melalui Tabung Sedekah UPSI bagi memastikan lebih ramai penerima manfaat dapat dibantu, seiring dengan semangat Ramadan yang penuh keberkatan dan nilai kasih sayang sesama insan.

