Oleh: Muhammad Syamim Aiman Abd Hamid
TANJONG MALIM, 11 Februari 2026 – Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Program Creative Learning Style Series 1: Diploma bertempat di Dewan Sri Tanjung, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS).
Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari ini memberi fokus kepada pembangunan kemahiran pembelajaran dalam kalangan pelajar diploma, khususnya mereka yang memperoleh PNGK 3.0 ke bawah atau PNGS 3.0 ke bawah serta peserta kesinambungan Program Restart, Refocus, Rise: Series 1 (Diploma).
Program ini bertujuan membantu pelajar mengenal pasti gaya pembelajaran kendiri masing-masing, mendedahkan mereka kepada teknik pembelajaran kreatif yang bersesuaian serta mengukuhkan fokus dan keyakinan dalam pembelajaran.
Inisiatif ini juga menyokong kesinambungan intervensi pembangunan pelajar secara berperingkat melalui pendekatan yang lebih praktikal dan berorientasikan tindakan.


Sepanjang program berlangsung, peserta telah melalui beberapa pengisian interaktif termasuk saringan Inventori Gaya Belajar, aktiviti refleksi kendiri, simulasi situasi pembelajaran di universiti serta perbincangan berkumpulan.
Aktiviti imagination workout dan penerokaan situasi pembelajaran sebenar memberi peluang kepada pelajar memahami kekuatan serta kecenderungan gaya belajar masing-masing secara lebih mendalam.
Pendekatan yang santai dan berfokuskan pengalaman ini berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif, terbuka dan menyokong.
Antara sorotan menarik program ialah sesi perkongsian dan pembentangan hasil perbincangan kumpulan yang memperlihatkan kreativiti serta kefahaman peserta terhadap teknik pembelajaran yang sesuai dengan diri mereka.
Penglibatan aktif peserta sepanjang sesi mencerminkan kesediaan mereka untuk memperbaiki pendekatan pembelajaran secara lebih tersusun dan berkesan.


Secara keseluruhannya, objektif program telah tercapai apabila pelajar berjaya mengenal pasti gaya pembelajaran kendiri, memahami teknik yang sesuai serta menunjukkan peningkatan kesedaran dan keyakinan dalam mengurus pembelajaran.
Program ini selari dengan peranan Pusat Kaunseling UPSI sebagai pusat sokongan yang bukan sahaja memberi fokus kepada kesejahteraan emosi, malah turut menyokong pembangunan akademik dan potensi diri pelajar secara holistik.
Diharapkan usaha berterusan seperti ini dapat memperkukuh budaya pembelajaran yang sihat serta melahirkan pelajar yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing selaras dengan aspirasi universiti.
