Oleh: Muhammad Syamim Aiman Abd Hamid
TANJONG MALIM, 28 Januari 2026 – Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMK KAB) telah berjaya menganjurkan Program Restart, Refocus, Rise Series 1: Diploma bertempat di Ruang Aktiviti Pelajar, Kolej Aminuddin Baki.
Program yang berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 6.00 petang ini mensasarkan pelajar Diploma Semester 2 dan ke atas bagi Sesi Akademik 2025/2026 yang memperoleh PNGK 3.0 ke bawah serta pelajar yang mendapat PNGS 3.0 ke bawah.
Inisiatif ini dilaksanakan sebagai langkah sokongan psikososial bagi membantu pelajar yang berhadapan cabaran motivasi, fokus dan keyakinan diri dalam pengurusan akademik.
Program ini dikendalikan oleh En. Muhammad Syamim Aiman yang bertindak sebagai fasilitator utama. Berbeza daripada pendekatan ceramah konvensional, program ini menggunakan pendekatan interaktif dan reflektif melalui aktiviti seperti emosi check-in, kad refleksi tanpa nama, peta kehidupan (Life Map Lite) serta penetapan matlamat kecil (small win).
Pendekatan ini memberi ruang selamat kepada peserta untuk meluahkan pengalaman dan mengenal pasti faktor sebenar yang menjejaskan fokus serta motivasi diri tanpa rasa dihukum atau dinilai.
Sepanjang program berlangsung, peserta menunjukkan penglibatan aktif dalam sesi perkongsian dan perbincangan kumpulan kecil.
Suasana santai dan empatik yang diwujudkan membantu peserta lebih terbuka dalam memahami kekuatan dan cabaran diri masing-masing.
Program ini turut memberi penekanan kepada penerimaan terhadap perkhidmatan kaunseling sebagai sokongan berterusan dan bukan sekadar langkah terakhir apabila berdepan kesukaran.



Objektif program telah dicapai melalui penyediaan ruang selamat untuk refleksi kendiri, membantu pelajar mengenal pasti punca gangguan fokus serta membina semula motivasi melalui matlamat kecil yang realistik dan boleh dicapai.
Program ini selari dengan peranan Pusat Kaunseling UPSI dalam menyokong kesejahteraan emosi dan pembangunan kendiri pelajar secara holistik.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan sebagai siri lanjutan dengan penglibatan lebih ramai pelajar agar budaya sokongan, kesedaran kendiri dan daya tahan dalam kalangan mahasiswa dapat diperkukuh selaras dengan aspirasi universiti melahirkan graduan yang seimbang dari aspek emosi dan akademik.
