Oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM, 5 Mac 2026— Kerjasama padu seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi pemacu utama kepada pencapaian prestasi cemerlang universiti, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Beliau merakamkan penghargaan, terima kasih serta tahniah kepada seluruh warga UPSI atas kejayaan universiti yang dicapai hasil usaha kolektif semua pihak.
“Prestasi cemerlang ini adalah hasil kerjasama tuan-tuan dan puan-puan sekalian sebagai anggota keluarga UPSI itu sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana UPSI yang diadakan di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah.
Menurut beliau kejayaan yang diraih bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya menuntut komitmen berterusan daripada pentadbir, pengurusan, pensyarah serta staf sokongan.
“Usaha-usaha itu perlu dilaksanakan oleh semua pihak. Amat-amatlah kerjasama itu diperlukan demi untuk masa depan anak-anak kita semua,” ujar beliau.



Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, penganjuran majlis berkenaan saban tahun bertujuan memperkukuh ukhuwah antara universiti, alumni, pelajar, masyarakat setempat serta ketua-ketua jabatan daerah.
“Matlamat akhir kita menganjurkan program ini setiap tahun tidak lain adalah untuk mengeratkan ukhuwah antara UPSI, alumni, pelajar, masyarakat sekitar dan seluruh pemegang taruh universiti,” katanya.
Md Amin turut menzahirkan rasa syukur atas pencapaian UPSI yang kini berada pada kedudukan 101 terbaik dunia, yang menurutnya adalah hasil doa, bantuan, restu, munajat dan pengorbanan daripada seluruh warga universiti.
“Alhamdulillah, hari ini kita berada di tangga 101 terbaik di dunia. Ini adalah hasil usaha dan sokongan daripada kita semua,” katanya.
Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan kepada waris kakitangan UPSI yang telah meninggal dunia serta penyerahan wakalah zakat kepada 10 pelajar sebagai tanda keprihatinan universiti terhadap kebajikan warganya.

