TANJONG MALIM, 4 Mac 2026 – Majlis Perhimpunan Bulanan Edisi Mac 2026 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung dalam suasana penuh ilmiah dan penghayatan Ramadan menerusi konsep “Telaah Imarah Ramadan”. Program ini adalah hasil kerjasama antara Pusat Islam UPSI dan Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB).
Majlis yang menghimpunkan warga universiti itu bukan sekadar perhimpunan rutin bulanan sebaliknya menjadi platform pengisian ilmu dan refleksi rohani bersempena bulan Ramadan. Program ini turut mengetengahkan budaya membaca dan diskusi ilmiah melalui pengenalan inisiatif Telaah@UPSI yang membawa pendekatan perbincangan buku secara terbuka, kritis dan reflektif dalam kalangan warga kampus.
Dalam ucapan perasmian, Naib Canselor UPSI menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur atas usaha menganjurkan majlis yang menggabungkan elemen ilmu, spiritual dan budaya intelektual selari dengan semangat Ramadan. Menurut beliau, konsep “Telaah Imarah Ramadan” menekankan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga tetapi juga bulan untuk menyuburkan rohani, memperkasa pemikiran serta memperbanyakkan amal kebajikan.
Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif Telaah diperkenalkan sebagai satu gerakan membudayakan amalan membaca melalui diskusi buku secara kreatif dan mendalam. Program ini mula diperkenalkan di peringkat nasional sebagai platform dialog ilmu yang menampilkan kupasan karya-karya penting bagi merangsang pemikiran kritis dalam masyarakat.
Di peringkat universiti, program Telaah@UPSI berperanan membawa semangat tersebut ke dalam komuniti kampus melalui sesi pembacaan, perkongsian idea serta diskusi antara pensyarah, mahasiswa dan warga universiti. Pendekatan ini dilihat mampu menyemarakkan budaya ilmu serta memperkukuh ekosistem intelektual dalam kalangan warga akademik.
Majlis pada kali ini turut menampilkan sesi dialog ilmiah yang menghimpunkan panel berwibawa iaitu Ustaz Mohd Gunawan Che Abdul Aziz yang berkongsi tentang 10 surah terakhir dalam Al Quran melalui bukunya yang bertajuk Al Khawatir Ala Asyris Suwar Al Khawatir (Renungan ke atas 10 surah terakhir) serta Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki yang menyentuh dimensi rohani dan motivasi dalam menghayati nilai Islam dalam kehidupan seharian melalui buku yang bertajuk Mendamba Bahagia.


Sesi dialog tersebut dikendalikan oleh Ustaz Mohd Hasbi Abdul Rahman dari Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI sebagai moderator yang memastikan perbincangan berlangsung secara dinamik, kritis dan relevan dengan realiti warga universiti.
Pada program yang sama turut diadakan sesi penyampaian anugerah peminjam buku terbanyak 2025 PTB sebagai pengiktirafan kepada warga universiti yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap budaya membaca.
Penganjuran majlis ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembudayaan ilmu dalam kalangan warga UPSI khususnya melalui amalan membaca dan diskusi intelektual sebagai sebahagian daripada pengisian Ramadan.
Melalui pendekatan ini, Ramadan bukan sahaja diraikan sebagai bulan ibadah malah dimaknai sebagai ruang memperkukuh roh, akal dan amal sekali gus melahirkan warga universiti yang berilmu, berakhlak dan berfikiran kritis dalam menyumbang kepada masyarakat.
