Behrang, 31 Mac 2026 – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan Program Beyond The Border: Language & Cultural Exploration @Edu-Forest UPSI yang melibatkan penyertaan seramai 30 orang peserta dari Jepun.
Program ini dianjurkan sebagai inisiatif memperkukuh jaringan antarabangsa serta mempromosikan pertukaran bahasa dan budaya antara Malaysia dan Jepun.
Kehadiran peserta antarabangsa ini turut membuka ruang interaksi bermakna bersama warga universiti dan komuniti setempat, sejajar dengan usaha memartabatkan pendidikan global berteraskan pengalaman sebenar.
Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata, sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti trekking, water confident dan eksplorasi alam semula jadi di Edu-Forest UPSI yang melibatkan pelajar serta mahasiswa dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi.
“Selain itu, lawatan ke kawasan Edu-Forest UPSI memberikan peluang kepada peserta untuk menghargai keunikan biodiversiti Malaysia. Mereka turut didedahkan dengan kepentingan pemeliharaan alam sekitar melalui aktiviti berunsurkan pendidikan Lestari” ujarnya lagi.



Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta dari Jepun, malah turut memberi impak positif kepada pelajar dan staf UPSI melalui perkongsian ilmu serta pengalaman rentas budaya.
Interaksi yang terjalin sepanjang program ini secara tidak langsung mengukuhkan kemahiran komunikasi dan meningkatkan kefahaman antara budaya.
“Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasa hubungan antarabangsa serta mempromosikan UPSI sebagai institusi pendidikan yang aktif dalam melaksanakan program komuniti dan global”.
Diharapkan program seumpama ini akan terus dilaksanakan pada masa hadapan bagi memperluas jaringan kerjasama dan memperkaya pengalaman pembelajaran sejagat.

