Oleh : Dr. Anis Diyana Halim dan Dr. Aisyah Mohamad Sharif

Tanjong Malim, 13 April – STEM Nurturing Centre, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan “Program Eksplorasi STEM” bersama murid tingkatan 5 SM Sains Selangor (SMSS) bertempat di Fakulti Sains dan Matematik (FSM), UPSI.

Program sehari yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang itu telah menghimpunkan 122 orang murid tingkatan 5 SM Sains Selangor.

Penganjuran bengkel ini turut menjadi manifestasi jaringan kerjasama strategik antara UPSI dengan SMSS dalam usaha memperkukuh kecemerlangan murid – murid STEM A yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Guru dan murid mendengar penerangan dari fasilitator Matematik
Murid melakukan aktiviti untuk memahami konsep Optik (Fizik)

Bengkel ini dianjurkan sebagai platform untuk memperkukuhkan konsep asas Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik bagi meningkatkan pencapaian murid dalam peperiksaan.

Bagi menghasilkan murid-murid STEM A yang cemerlang, pemahaman yang kukuh terhadap konsep-konsep sains dan matematik amat perlu.

Walau bagaimanapun, murid-murid sering berhadapan dengan cabaran dalam memahami konsep-konsep yang sukar.

Sehubungan itu, bengkel ini dirangka bagi membantu murid-murid mengukuhkan asas konsep dalam mata pelajaran Fizik, Kimia, Matematik dan Biologi melalui pengalaman pembelajaran yang bermakna.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut mata pelajaran iaitu Fizik, Biologi, Kimia dan Matematik.

Setiap kumpulan terdiri dari 30 orang murid-murid dan dilatih oleh fasilitator yang terdiri dari pensyarah, pegawai sains dan pelajar Fakulti Sains dan Matematik.

Konsep-konsep yang dipelajari murid bagi mata pelajaran Fizik adalah Elektrik, Elektromagnet, Optik dan Daya dan Gerakan. Bagi mata pelajaran Kimia, konsep-konsep yang dipelajari adalah Kadar Tindakbalas, Elektrokimia dan Asid, Bes dan Garam.

Seterusnya, bagi matapelajaran Biologi, konsep-konsep yang dipelajari adalah Perwarisan, DNA dan Genetik. Manakala, bagi mata pelajaran Matematik, konsep-konsep yang dipelajari adalah Penjelmaan Matematik, Kebarangkalian, Pilihatur dan Gabungan dan Pengaturcaraan Linear.

Murid bersedia melakukan aktiviti kadar tindak balas (Kimia)
Murid sedang melakukan aktiviti DNA (Biologi)

Penganjuran bengkel ini dilihat bertepatan dengan usaha UPSI sebagai universiti pendidikan untuk menyokong agenda pendidikan negara dalam meningkatkan bilangan murid STEM A seterusnya memperkukuhkan kecemerlangan mereka.

Melalui program sebegini, murid bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman konsep, malah berupaya membantu meningkatkan kualiti kecemerlangan mereka.

Selain membantu meningkatkan kualiti pengajaran guru, bengkel ini juga menjadi salah satu inisiatif STEM Nurturing Centre dalam merealisasikan pelan strategik fakulti serta menyumbang kepada pencapaian KPI berkaitan penganjuran kursus dan latihan berasaskan penyelidikan.

Pihak penganjur berharap Program Eksplorasi STEMakan melibatkan lebih banyak sekolah pada masa hadapan agar lebih ramai murid dapat memanfaatkan perkongsian ilmu dan pengalaman yang ditawarkan.

Usaha ini membuktikan komitmen STEM Nurturing Centre dalam memperkasakan pendidikan STEM di negara ini selari dengan objektif pusat ini.