oleh : Nur Azliyana Aqilah

Tanjong Malim, Perak, 12 April 2026 – Program KHAR Greenwave: “United for A Greener Community” merupakan aktiviti gotong-royong anjuran Exco Blok Kediaman, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya yang telah melibatkan penyertaan penghuni daripada semua blok kediaman.

Program ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan penghuni tentang kepentingan menjaga kebersihan serta memelihara alam sekitar. Program ini juga bertujuan untuk menggalakkan amalan kitar semula serta memupuk semangat kerjasama melalui aktiviti gotong-royong yang dijalankan secara berperingkat.

Program ini telah berlangsung selama enam hari, bermula pada 6 April 2026 hingga 11 April 2026, yang melibatkan aktiviti pengumpulan bahan kitar semula oleh semua ahli jawatankuasa pelaksana. Kemuncak program telah diadakan pada 12 April 2026 (Sabtu) dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang secara teratur.

Program ini dimulakan dengan ketibaan barisan VVIP pada pukul 7.30 pagi. Seterusnya, pada jam 8.20 pagi hingga 8.40 pagi, para peserta telah menyertai aktiviti senamrobik bagi menyegarkan badan sebelum memulakan aktiviti utama. Taklimat ringkas mengenai aktiviti program turut disampaikan, diikuti dengan sesi fotografi sebagai kenangan.

Menurut wakil ketua felo KHAR, Dr. Muhammad Ridhwan Sarifin, penganjuran program seumpama ini merupakan satu langkah penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga prihatin terhadap kesejahteraan persekitaran mereka.

“Program seperti ini melatih mahasiswa supaya menghargai kebersihan dan tanggungjawab sosial sebagai sebahagian daripada nilai diri. Ia juga memperkukuh hubungan antara pelajar, felo dan pengurusan kolej”, ujar beliau. 

Selain aktiviti kebersihan, program ini turut menjadi medium interaksi antara pelajar baharu dan senior dalam suasana santai serta penuh semangat kekeluargaan.

Program ini memberi ruang kepada semua warga KHAR untuk berkomunikasi, bertukar idea dan bekerjasama demi mewujudkan persekitaran kolej yang kondusif dan harmoni.

Aktiviti gotong-royong ini dijalankan secara serentak di setiap blok dan kawasan sekitar kolej dengan penglibatan aktif para peserta bersama ahli jawatankuasa pelaksana yang berganding bahu dalam membersihkan rumah dan bilik-bilik kediaman, menjemur bantal dan tilam, serta menyusun kasut dan selipar dengan lebih teratur. Selain itu, aktiviti pengumpulan barang terpakai turut dijalankan bagi tujuan kitar semula.

Pada jam 10.00 pagi, rondaan telah dilakukan oleh Exco blok kediaman bersama ahli jawatankuasa blok bagi memastikan semua kawasan telah dibersihkan dengan baik.

Pada masa yang sama, bahan kitar semula yang telah dikumpulkan dihantar ke lokasi yang telah ditetapkan.

Seterusnya, pada jam 10.20 pagi hingga 10.30 pagi, majlis diteruskan dengan pengumuman pemenang bagi aktiviti yang telah dijalankan.

Selain itu, cap buku KHAR turut dilakukan dan para peserta diberi peluang untuk mengisi maklum balas mengenai program tersebut. Program ini telah berakhir pada jam 10.30 pagi dengan bersurai.

Program KHAR Greenwave ini telah berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan. Program ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan alam sekitar, malah turut mengeratkan hubungan dalam kalangan penghuni melalui semangat kerjasama yang ditunjukkan.

Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan persekitaran yang bersih dan lestari sentiasa terpelihara.