Oleh: Azureen Rozlan & Nor Hayati Aziz
Sik, Kedah | 16 – 18 April 2026 – Program N.E.X.U.S (Nurturing Excellence and Unity in Student Leadership) telah dilaksanakan dengan jayanya selama tiga hari dua malam di Sekolah Menengah Kebangsaan Sik, Kedah. Program ini menghimpunkan seramai 105 orang pelajar Tingkatan 2 hingga Tingkatan 4 yang terdiri daripada barisan pengawas sekolah, pengawas pusat sumber serta pembimbing rakan sebaya.
Program ini dirangka sebagai platform pembangunan kepimpinan pelajar secara holistik dengan menekankan aspek pembentukan sahsiah, pengukuhan jati diri serta peningkatan kemahiran insaniah. Sepanjang pelaksanaannya, pelbagai pengisian berimpak tinggi telah dijalankan melalui pendekatan interaktif dan berpusatkan peserta, merangkumi slot motivasi, latihan dalam kumpulan, simulasi kepimpinan serta aktiviti eksplorasi kendiri.



Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh, yang dalam ucapannya menegaskan bahawa kepimpinan pelajar perlu dibina berasaskan nilai, ilmu dan akhlak yang seimbang. Beliau turut menyatakan bahawa program seperti N.E.X.U.S merupakan platform penting dalam mencungkil potensi pelajar agar mampu menjadi pemimpin masa hadapan yang berintegriti, berdaya tahan serta mampu menyumbang kepada masyarakat. Selain itu, beliau menyeru agar para peserta memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk membina keyakinan diri, memperkasa kemahiran komunikasi serta memperluas pemikiran sebagai pemimpin muda.
Pendekatan santai tetapi bermakna yang diketengahkan oleh para fasilitator berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, sekali gus membuka ruang kepada peserta untuk lebih berani menyuarakan pandangan, meningkatkan keyakinan diri serta membina hubungan yang positif antara satu sama lain.



Antara pengisian utama program termasuk slot “Leading with Purpose, Leading the Change, Stronger Together” yang memberi penekanan kepada kepimpinan berteraskan nilai, kejelasan visi serta keupayaan menjadi agen perubahan dalam komuniti sekolah. Peserta turut didedahkan dengan kepentingan kerja berpasukan dan kesepaduan dalam mencapai matlamat bersama melalui aktiviti simulasi dan perbincangan kumpulan.
Slot “Jom Jadi Pelajar Hebat” pula memfokuskan kepada pembinaan identiti pelajar cemerlang yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah. Peserta didedahkan dengan strategi pengurusan masa, teknik pembelajaran berkesan serta pembentukan tabiat positif seperti disiplin diri, konsistensi dan keupayaan mengurus tekanan. Pendekatan refleksi kendiri turut membantu peserta merancang penambahbaikan diri secara lebih realistik.
Sementara itu, slot “Speak Smart” menekankan kepentingan kemahiran komunikasi sebagai teras utama kepimpinan pelajar. Latihan yang dijalankan memberi peluang kepada peserta untuk memperkukuh keupayaan menyampaikan idea secara jelas dan menyakinkan, di samping mengasah kemahiran mendengar secara aktif serta mengurus konflik dengan lebih matang.
Slot reflektif “Tak Penat ke Jadi Biasa” menjadi antara pengisian paling menyentuh emosi peserta apabila mereka dibimbing untuk menilai potensi diri serta menetapkan hala tuju kehidupan yang lebih jelas. Pendekatan penceritaan dan perkongsian inspirasi berjaya menyuntik semangat baharu dalam kalangan peserta untuk keluar daripada zon selesa dan berani mencabar diri ke arah kecemerlangan.



Program turut diserikan dengan Malam Kebudayaan, yang menjadi platform kepada peserta menonjolkan bakat dan kreativiti melalui persembahan seperti lakonan, nyanyian, tarian dan persembahan berkumpulan. Aktiviti ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah mengukuhkan semangat kebersamaan dan keyakinan diri dalam kalangan peserta.
Secara keseluruhannya, Program N.E.X.U.S berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasa potensi pelajar serta membentuk generasi pemimpin muda yang berdaya saing, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan sebagai inisiatif berimpak tinggi dalam melahirkan pemimpin pelajar yang holistik dan berwibawa.

