Oleh: Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail, Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim dan Chong Yoke Ming

Tanjong Malim, 22 April 2025 – Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan Webinar Hari Bumi: Amanah Menjaga Alam pada hari ini.

Dengan tema ‘Our Power, Our Planet: Amanah Menjaga Alam’, webinar yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Bumi Tahun 2026 ini telah menekankan peranan individu dalam usaha melindungi alam sekitar dan Bumi kita.

Webinar tersebut telah disampaikan oleh dua orang ahli panel yang cukup berpengalaman, iaitu Prof. Madya Dr. Haryati Shaffi dari Jabatan Pengurusan Pembinaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, serta Dr. Hajah Tiwi binti Kamidin, Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak Miri.

Sepanjang sesi itu, moderator webinar, Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail dari Jabatan Geografi dan Alam Sekitar UPSI telah mengendalikan perbincangan yang menyentuh pelbagai aspek, seperti peranan mahasiswa dalam menjaga alam sekitar, tindakan awam swasta dalam isu alam sekitar, serta aspek pembangunan lestari.

Sesi Fotografi Bersama Peserta Webinar
Ahli Jawatankuasa Program Bersama Dr. Mohamad Ihsan bergambar selepas program

Webinar tersebut dihadiri oleh lebih 1,000 peserta melalui Platform Google Meet dan Siaran Langsung Facebook, dengan rata-rata peserta memberi respons yang positif terhadap program ini. Selain itu, tidak dilupakan juga penglibatan sekitar 40 orang mahasiswa dari Universitas PGRI Sumatera Barat, Indonesia dalam sesi webinar kali ini.

“Webinar yang dianjurkan oleh Jabatan Geografi dan Alam Sekitar UPSI pada hari ini amat memberi impak kepada saya dan kawan-kawan saya, kerana saya telah memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan baharu, khususnya konsep The Power of Me.” kata Siti Syarmilah binti Ibrahim, salah seorang peserta webinar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Beliau menambah, “Konsep The Power of Me perlulah diperkenalkan kepada lebih ramai mahasiswa serta kepada masyarakat, kerana individu adalah berkuasa dalam menentukan sama ada kelestarian alam sekitar kita terus terpelihara atau sebaliknya.”