Oleh: Maizatul Madihah Muhammad, Dr Wan Maslukma Wan Zaharudin
Tanjong Malim, 24 April 2026 – Program Daurah Fiqh Wanita: Haid dan Istihadah telah berjaya dilaksanakan hasil anjuran Persatuan Pendidikan Islam (PPI), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris. Penganjuran program ini menjadi salah satu platform ilmiah dalam memberi kefahaman yang jelas, khususnya kepada mahasiswi, mengenai hukum-hakam serta panduan berkaitan haid dan istihadah dalam kehidupan seharian.
Topik yang diketengahkan membahaskan ilmu fiqh yang amat penting dalam kehidupan seorang wanita Muslim kerana ia mempunyai kaitan langsung dengan kesahihan ibadah seperti solat, puasa, tawaf, serta batasan dalam hubungan suami isteri. Justeru, pemahaman yang tepat terhadap isu ini amat diperlukan agar setiap amalan dapat dilaksanakan berlandaskan syariat Islam yang sebenar.


Pelaksanaan program ini dilihat mampu membentuk mahasiswi yang berkeyakinan dan berilmu dalam mengurus hal ehwal diri mengikut syariat Islam, sekaligus menyumbang kepada pembentukan generasi wanita Muslimah yang celik fiqh, berakhlak mulia, serta istiqamah dalam melaksanakan tuntutan Syariah.
Program ini telah disampaikan oleh seorang penceramah jemputan iaitu Cik Imvitahul Mawaddah yang merupakan seorang pelajar Sarjana Pendidikan Islam di UPSI. Penyampaian yang jelas, tersusun dan interaktif telah berjaya menarik minat para peserta untuk terus fokus sepanjang program berlangsung. Program ini turut mendapat sambutan dengan kehadiran hampir 160 orang mahasiswi. Ini menunjukkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan pelajar terhadap kepentingan memahami ilmu fiqh wanita secara mendalam dan tepat.
Sepanjang sesi perkongsian berlangsung, penceramah telah memanggil beberapa orang peserta ke hadapan untuk menjawab soalan yang dikemukakan. Kaedah ini bukan sahaja menguji tahap kefahaman peserta, malah membantu meningkatkan keyakinan diri serta penglibatan aktif dalam kalangan hadirin.
Selain itu, sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi peluang kepada peserta untuk mengemukakan persoalan berkaitan isu-isu yang dihadapi dalam kehidupan seharian. Semua soalan yang diajukan telah dijawab dengan baik dan jelas oleh penceramah, sekali gus membantu merungkaikan kekeliruan yang sering timbul dalam kalangan wanita berkaitan haid dan istihadah.
Secara keseluruhannya, Program Daurah Fiqh Wanita: Haid dan Istihadah ini telah berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan. Program ini bukan sahaja memberi pendedahan ilmu yang bermanfaat, malah meningkatkan kefahaman peserta terhadap hukum-hakam berkaitan fiqh wanita.
Melalui pengisian yang interaktif dan penyampaian yang berkesan, para peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan seharian dengan lebih yakin dan tepat. Hal ini dapat membantu mereka dalam memastikan kesahihan ibadah yang dilaksanakan. Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai mahasiswi yang berilmu, berkeyakinan serta berpegang teguh kepada ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan.
