Oleh: Muqri Nizam Dan Encik Mohamad Kamal Bin Kamaruddin

Tanjung Malim, 2 Mei 2026

Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan sebuah program persidangan atas talian yang boleh dikategorikan sebagai sebuah program yang berimpak tinggi untuk perkembangan budaya pengetahuan dan keilmuan dalam kalangan Mahasiswa Sejarah di seluruh Malaysia. Persidangan Mahasiswa Sejarah Malaysia ini merupakan hasil cetusan cadangan dan buah fikir persatuan persatuan Mahasiswa Sejarah di seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam di seluruh Malaysia untuk mencari sebuah wadah penyatuan bagi menyatakan pendapat serta wacana ilmiah bagi menyatukan seluruh mahasiswa sejarah ini.

Barisan Perwakilan dari Persatuan Sejarah dari seluruh IPTA yang menawarkan Program Sejarah
 

Buat julung kalinya, program ini berjaya dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Sejarah UPSI (PERMAS) UPSI setelah perundingan dan perbincangan yang panjang melibatkan seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang menawarkan program Sejarah. Antara persatuan sejarah yang terlibat adalah Persatuan Sejarah Universiti Malaya (Universiti Malaya), Secretariat History and Civilization (Universiti Islam Antarabangsa), Kelab Pendidikan Sejarah (Universiti Malaysia Sabah), Persatuan Sejarah dan Warisan (Universiti Malaysia Sabah, Kelab Sejarah USM (Universiti Sains Malaysia), Persatuan Mahasiswa Sejarah, Politik dan Strategi (Universiti Kebangsaan Malaysia), Kelab Sejarah Gunaan (Universiti Malaya) dan tuan rumah bagi program ini iaitu Persatuan Mahasiswa Sejarah (Universiti Pendidikan Sultan Idris).

Program ini juga telah mendapat kerjasama yang baik dari pihak Fakulti Sains Kemanusiaan dan Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris serta Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak. Dengan kerjasama yang baik ini, program ini berjalan dengan baik seperti yang dirancangkan di dalam tentatif.

Program ini dimulakan dengan ucaptama oleh Yang Di-Pertua PERMAS UPSI, saudara Muhammad Aizat bin Azmi dengan harapan dan matlamatnya agar persidangan ini dapat diteruskan secara semuka dan dapat ditambah baik pada siri yang mendatang.

Diikuti dengan ucapan perasmian oleh Dr. Abu Zarrin bin Selamat selaku Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI turut menyatakan sokongan yang padu serta hasrat yang jitu untuk penganjuran program ini pada siri yang terkehadapan.

Usai ucapan perasmian, program dimulakan dengan ucapan pendahuluan oleh Prof Madya (K) Dr Jelani Halimi selaku Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak. Di sela sela ucapan ini, terdapat juga nasihat serta bimbingan khusus untuk mahasiswa sejarah yang akan membentangkan dapatan mereka nanti. Nasihat berupa untuk seorang “guru dan murid” telah digunakan oleh beliau bagi menasihati anak anak mahasiswa Sejarah dalam mendepani cabaran dunia moden disamping menjaga dan menghormati tradisi keilmuan dalam disiplin Sejarah.

Setelah ucapan pendahulan, persidangan bermula dengan pembentangan yang dibawa oleh saudara Tan Jia Jie dan saudara Ahmad Mustaqim bin Mohd Zala dengan tajuk pembentangannya, Islam di Kesultanan Melayu: Kesan Sosial dan Politik. Pembentangan yang sangat baik serta bermanfaat untuk peserta dan perwakilan yang lain. Pembentangan diteruskan dengan pembentang dari perwakilan yang lainnya.

Perwakilan Persatuan Mahasiswa Sejarah UPSI, saudara Muqri Nizam telah membawa isu yang sangat signifikan kepada UPSI iaitu Isu Isu Pendidikan Melayu abad ke-19. Isu ini dikupas dan dibahaskan dengan sangat baik oleh perwakilan UPSI dek kerana kedekatan jiwa UPSI dan Sultan Idris Training College (SITC) yang menjadi asas kepada pendidikan di negara ini.

Program ini akhirnya bersurai secara rasminya pada jam 2:00 PM dengan kehadiran penuh dalam rekod pendaftaran seramai 492 orang dan juga tontonan atas talian (live) Facebook sebanyak 1.8K tontonan. Jumlah ini dipihak kami sangat besar jumlahnya dengan penyertaan yang dikira sangat baik pada hari kejadian dan program ini.

Program ini juga telah mendapat liputan yang sangat luas dalam kalangan akademia serta pihak badan Non Government Organization. “Program yang sangat baik dan wajar diteruskan pada siri yang akan datang dan sewajarnya dianjurkan secara bersemuka.” ulas Ketua Jabatan Sejarah, FSK iaitu Dr. Siti Zahrah binti Mahfood.

Sebagai penutup, pihak PERMAS UPSI amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan program ini baik dari pihak PERMAS UPSI hinggalah pihak Bahagian Pelajar dan Seksyen Pembangunan Sahsiah atas kelulusan kertas kerja bagi pelaksanaan program ini.