Oleh: Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail, Prof. Madya Dr. Hanifah Mahat, En. Sharil Mat Esa dan Priscilla Willinda Willy

Baling, Kedah, 20 April 2026- Bersempena dengan Sambutan Minggu Geografi, Program Celik Geografi dan Inovasi telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongor, Baling, Kedah. Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh pensyarah UPSI iaitu Dr. Mohamad Ihsan Bin Muhamad Ismail bersama dengan Pengetua SMK Bongor, Puan Norzihan Binti Ali Musa dan disaksikan oleh barisan guru SMK Bongor, pelajar-pelajar SMK Bongor serta pelajar UPSI yang terlibat.

Pelaksanaan program ini telah dikendalikan oleh Encik Mohamad Norhisan Bin Alias selaku Ketua Panitia Geografi SMK Bongor dan Puan Nuraliah Sabarina yang bertindak sebagai perantara utama bagi pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris dan SMK Bongor bagi memastikan kelancaran program ini.  Program ini berlangsung dari jam 8.00 pagi sehingga 1.00 petang mengikut tentatif yang disediakan oleh pihak sekolah dan diadakan di tapak perhimpunan SMK Bongor, Baling, Kedah. Peserta yang terlibat ialah pelajar-pelajar SMK Bongor sendiri yang berjumlah seramai 376 orang pelajar.

Sesi ceramah Program Celik Geografi dan Inovasi oleh Dr. Mohamad Ihsan
Sesi ice-breaking bersama pelajar-pelajar SMK Bongor
Sesi ice-breaking bersama pelajar-pelajar SMK Bongor

Sambutan Minggu Geografi merupakan satu inisiatif pihak sekolah yang bertujuan untuk meningkatkan minat dan kesedaran pelajar terhadap bidang geografi.  Para pelajar SMK Bongor telah mengikuti sesi ceramah yang disampaikan oleh Dr. Mohamad Ihsan berkaitan dengan bidang geografi dan inovasi. Sesi ini bertujuan untuk memberikan pendedahan tentang kepentingan inovasi dalam mata pelajaran Geografi dan peranan inovasi dalam meningkatkan kefahaman pelajar tentang konsep-konsep dalam Geografi.

Seterusnya, pelajar-pelajar SMK Bongor juga menjalani sesi ice-breaking bersama dengan pelajar UPSI bagi mewujudkan suasana interaksi yang lebih mesra antara kedua-dua pihak.

Seramai enam kumpulan pelajar dari UPSI telah menghasilkan inovasi masing-masing untuk dipamerkan kepada pelajar-pelajar SMK Bongor. Setiap kumpulan diberikan tajuk khusus sebagai panduan untuk mereka menghasilkan inovasi yang kreatif dan bertepatan dengan Biogeografi. Selain mempamerkan hasil inovasi, setiap kumpulan turut menyediakan pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk menguji minda pelajar SMK Bongor agar mereka memperolehi ilmu dengan lebih mendalam. Aktiviti- aktiviti yang interaktif ini telah berjaya mencipta suasana belajar yang menyeronokkan bagi pelajar SMK Bongor.

Antara inovasi yang dihasilkan oleh kumpulan pelajar kursus Biogeografi
Antara inovasi yang dihasilkan oleh kumpulan pelajar kursus Biogeografi

Setiap meja pameran akan dikunjungi oleh pelajar-pelajar SMK Bongor secara bergilir-gilir dalam bentuk kumpulan bagi memastikan setiap pelajar mendapat peluang untuk melihat inovasi yang dipamerkan dan melibatkan diri dalam aktiviti yang disediakan. Selain itu, terdapat aktiviti lain seperti ‘Kompas Misteri’ dan Geo-Identity yang dijalankan sebagai aktiviti tambahan bagi mengawal pergerakan pelajar yang ramai. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan untuk memastikan pelajar kekal aktif sambil menunggu giliran untuk mengunjungi meja pameran.

Secara keseluruhannya, Program Celik Geografi dan Inovasi ini dilihat berjaya mencapai objektif yang dirancang iaitu meningkatkan kefahaman pelajar melalui inovasi serta minat pelajar terhadap mata pelajaran Geografi melalui pendekatan yang kreatif dan interaktif. Penglibatan aktif pelajar SMK Bongor dalam setiap aktiviti yang dijalankan termasuk pameran inovasi menunjukkan bahawa pembelajaran berasaskan pengalaman mampu memberi impak yang positif terhadap pengetahuan mereka.

Para pelajar mengunjungi reruai inovasi setiap kumpulan
Para pelajar mengunjungi reruai inovasi setiap kumpulan

Program ini juga berjaya mewujudkan jalinan kerjasama yang baik antara pelajar UPSI dan warga sekolah SMK Bongor sekaligus menggalakkan perkongsian ilmu serta pengalaman secara dua hala. Program seperti ini diharapkan wajar diteruskan pada masa hadapan kerana bukan sahaja dapat meperkukuhkan kefahaman akademik pelajar malah memupuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerjasama dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar.