Oleh: Fatimah Athirah Zawawi & Nurfatin Syazwani Halimi

KUALA LUMPUR, 17 Mei 2026 – Program SciQuest 2026 telah dianjurkan oleh pelajar  Semester 2 dan Semester 4 Ijazah Sarjana Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-kanak),  Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan penglibatan seramai 112 orang pelajar sebagai  jawatankuasa pelaksana dan peserta aktif.

Lawatan akademik bagi kursus Science for Young Children ini membuka peluang kepada para  pelajar untuk mengalami sendiri pembelajaran sains secara interaktif menerusi aktiviti  eksplorasi, eksperimen dan pendekatan hands-on yang menyeronokkan. Program ini bukan  sekadar lawatan ilmiah, malah menjadi medium pembelajaran bermakna yang  menghubungkan teori di bilik kuliah dengan pengalaman dunia sebenar.

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai pameran dan  teknologi sains moden yang mampu merangsang pemikiran kreatif, kritis serta semangat ingin tahu dalam kalangan bakal pendidik. Pengalaman ini turut memberi inspirasi kepada pelajar  untuk menerapkan elemen pembelajaran sains yang lebih inovatif dan menyeronokkan  kepada kanak-kanak pada masa hadapan.

Menurut Dr.Nadia Shahira Amiruddin selaku penasihat program, “Program SciQuest 2026 ini  menunjukkan komitmen dan kerjasama yang sangat baik dalam kalangan pelajar Semester 2  dan Semester 4. Saya percaya pengalaman ini telah memperkukuh kefahaman mereka  terhadap pendekatan Sains Awal Kanak-kanak serta memberi nilai tambah dalam kemahiran  perancangan, pelaksanaan dan kerja berpasukan dalam pendidikan awal kanak-kanak.”

Selaras dengan aspirasi Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam melahirkan generasi  pendidik yang progresif dan berdaya saing, program ini membuktikan bahawa pembelajaran  sains mampu diterapkan secara kreatif dan menyeronokkan, sekali gus memperkasa minat  terhadap STEM dalam kalangan generasi muda.

Eksplorasi SciQuest 2026 diharapkan menjadi pencetus kepada lebih banyak program  berimpak tinggi yang mampu melahirkan pendidik masa hadapan yang inovatif, berfikiran kritis  dan bersedia memacu pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang.