Oleh: Nora Liza Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Dewan Grand Ballroom, Hilton Kuala Lumpur pada malam 15 Mei 2026 telah menjadi saksi kepada satu lagi detik bersejarah buat seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam suasana penuh prestij dan gilang-gemilang, Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2025 (AKKPT ’25) telah melabuhkan tirainya dengan penuh emosi dan kejayaan.

Majlis yang disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, merupakan medan pengiktirafan tertinggi buat Institusi Pendidikan Tinggi, ahli akademik, pentadbir, mahasiswa, dan graduan dalam memacu agenda keusahawanan negara. Penganjuran edisi kali ini juga membawa makna besar sebagai kayu ukur kejayaan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT (PTK-IPT) 2021-2025 yang telah dilaksanakan bersama. Menambah seri malam tersebut, majlis ini turut menyaksikan peluncuran Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026-2030. Peluncuran ini menandakan komitmen berterusan kementerian dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan di menara gading bagi tempoh lima tahun akan datang.

Malam penuh debaran itu ternyata memihak kepada UPSI apabila kecemerlangan dalam arus teknologi diperlihatkan menerusi kategori Platform Digital Pelajar Terbaik. Wakil tunggal universiti dalam kategori tersebut, Muhamad Nur Syahir bin Mohamad Nordin daripada KPBL Enterprise, telah berjaya menempatkan diri di tempat kedua. Pelajar Fakulti Sains Kemanusiaan ini membuktikan ketangkasan luar biasa dalam mengadaptasi teknologi digital bagi meluaskan capaian perniagaan kreatifnya.

Ketika ditemubual selepas majlis, Syahir tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan syukurnya atas pencapaian berimpak tinggi ini. Walaupun menduduki tempat kedua, beliau menyifatkan keputusan kali ini sebagai satu lonjakan prestasi yang jauh lebih baik berbanding penyertaannya dalam AKKPT yang lalu, di mana beliau telah menduduki tempat ketiga.

“Saya sangat bersyukur kerana berada di posisi yang lebih baik kali ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu, ayah, dan keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang saya, serta semua pengikut yang tidak jemu menyokong kandungan video (content) yang saya hasilkan di media sosial,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan khas kepada Dr. Sharul Effendy Janudin dan seluruh pasukan EDGE UPSI yang sentiasa membuka ruang serta memberikan sokongan padu kepada mahasiswa untuk bertanding di peringkat tertinggi.

Melangkah ke hadapan, anak muda yang kini aktif dalam bidang food review ini memasang impian besar untuk mengembangkan lagi jenamanya. Beliau berhasrat untuk menjalinkan kolaborasi bersama syarikat-syarikat gergasi serta agensi kerajaan, selain komited untuk memanfaatkan platform media sosialnya seperti TikTok, Instagram, Facebook, dan Threads bagi membantu mempromosikan perniagaan para usahawan luar.

Syahir turut menitipkan pesanan buat mahasiswa lain yang ingin menceburi bidang penciptaan kandungan kreatif digital ini agar sentiasa berani, membuang rasa malu, dan mengekalkan konsistensi berasaskan minat yang mendalam. Beliau turut menyarankan agar usahawan pelajar sentiasa mengikuti perkembangan rapat media sosial UPSI EDGE bagi merebut pelbagai inisiatif bimbingan perniagaan yang disediakan. Tidak melupakan rakan-rakan seperjuangan, Syahir sempat memberikan kata-kata perangsang, “Kepada rakan finalis AKKPT 2025, jangan sesekali mengalah. Berjaya menjejakkan kaki ke pentas akhir ini sudah cukup membuktikan potensi luar biasa kalian. Jadikan ini batu loncatan untuk melangkah lebih jauh.”

Pertandingan ini telah membuktikan bahawa bakat dari bumi Muallim mampu bersaing dan terbang tinggi di mana sahaja. Kejayaan di Hilton Kuala Lumpur ini bukan sekadar tentang trofi, tetapi merupakan manifestasi usaha gigih dan keazaman setiap individu yang percaya bahawa potensi usahawan muda kita adalah pemacu masa depan negara.

Detik ini menjadi bukti bahawa sokongan jitu daripada seluruh warga universiti mampu mengubah impian mahasiswa menjadi realiti yang diiktiraf di peringkat kementerian. Tahniah diucapkan kepada semua finalis dan pemenang! Teruskan melakar sejarah dan biarlah nama UPSI terus mekar di puncak kecemerlangan.