20 MEI 2026, Tanjung Malim – Sambutan Hari Guru 2026 peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris telah berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna di Auditorium Utama UPSI. Majlis yang bermula seawal jam 9.00 pagi itu menghimpunkan warga universiti serta tetamu jemputan dalam suasana penuh penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan guru sebagai pembina generasi masa hadapan.
Majlis diserikan dengan ketibaan Naib Canselor UPSI, Yang Berbahgia Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff sebelum dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Lagu Kebesaran Negeri Perak serta bacaan Al-Fatihah. Suasana dewan yang dipenuhi semangat kebersamaan jelas menggambarkan penghargaan tinggi warga UPSI terhadap profesion perguruan yang menjadi tunjang utama pembangunan masyarakat dan negara.
Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berusaha Muhammad Luqman Hakim Bin Zulikhsyam selaku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Sidang 2025/2026. Majlis kemudiannya diteruskan dengan Ucapan Perasmian Sambutan Hari Guru UPSI 2026 dan Perasmian Inisiatif “Sehari RM1 Seumur Hidup Berbakti” yang disampaikan oleh Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff. Dalam ucapan tersebut, beliau menekankan peranan penting warga pendidik dalam membentuk modal insan berkualiti serta memperkasakan budaya ilmu dalam dunia pendidikan.
Turut berlangsung ialah bacaan Ikrar Hari Guru dan nyanyian lagu “Kami Guru Malaysia” yang berjaya menaikkan lagi semangat serta rasa bangga terhadap profesion perguruan. Sambutan turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik seperti Deklamasi Sajak Hari Guru, persembahan daripada anak-anak Sekolah Seri Budiman serta persembahan khas daripada pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI.
Selain itu, sambutan ini turut menjadi medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga universiti serta menyemarakkan lagi semangat menghargai jasa para pendidik. Kehadiran warga UPSI yang memenuhi auditorium jelas memperlihatkan sokongan dan penghormatan yang tinggi terhadap profesion perguruan yang menjadi asas kepada pembangunan generasi berilmu dan berakhlak mulia.



Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan komitmen warga pendidik, majlis turut disusuli dengan penyampaian cenderamata kepada individu yang telah memberikan sumbangan besar dalam bidang pendidikan dan pembangunan universiti. Penganjuran sambutan ini bukan sahaja menjadi platform menghargai jasa para guru, malah turut memperkukuhkan semangat kekeluargaan dan penghormatan terhadap profesion perguruan selaras dengan peranan Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai institusi peneraju pendidikan negara.
