Oleh: Encik Mohamad Faiz Farhan Abdul Rahman, Dr. Adib Mashuri dan Dr. Noor Alhuda Madzlan.

SERDANG, 23 Mei 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mencipta kecemerlangan apabila seramai tujuh orang mahasiswa berjaya melayakkan diri ke Pusingan Akhir, Olimpiad Matematik Universiti Malaysia 2026 (OMUM2026) yang berlangsung di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Penyertaan tersebut membuktikan keupayaan mahasiswa UPSI dalam bidang matematik serta daya saing mereka di peringkat kebangsaan. Delegasi UPSI turut diiringi oleh tiga orang pensyarah iaitu Dr. Adib bin Mashuri, Dr. Noor Alhuda binti Madzlan dan Encik Mohamad Faiz Farhan bin Abdul Rahman bagi memberikan sokongan kepada para peserta sepanjang pertandingan pusingan akhir berlangsung.

OMUM2026 merupakan pertandingan berprestij yang menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara. Pada tahun ini, seramai 154 peserta daripada 18 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan lapan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah menyertai pusingan kelayakan sebelum hanya 74 peserta terbaik berjaya dipilih ke pusingan akhir.

Menurut Pengerusi OMUM2026, YBrs. Dr. Siti Suzilliana Putri Mohamed Isa, pertandingan tersebut bukan sekadar platform merebut kemenangan, malah bertujuan mengembangkan kemahiran penyelesaian masalah matematik secara kreatif serta mengenal pasti bakat mahasiswa yang berpotensi menjadi ahli matematik dan saintis masa hadapan.

Majlis perasmian OMUM2026 telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Jemaah Dekan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Bany Ariffin Amin Noordin. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa matematik merupakan asas penting kepada perkembangan sains, teknologi, kecerdasan buatan dan pelbagai bidang strategik negara.

Beliau turut menyatakan bahawa pertandingan seperti OMUM2026 amat signifikan dalam melahirkan mahasiswa yang memiliki pemikiran kritis, inovatif dan mampu bersaing di peringkat global selaras dengan era Revolusi Industri 4.0 dan transformasi digital masa kini.

Penyertaan UPSI bagi OMUM2026 telah diselaraskan oleh Dr. Adib bin Mashuri yang turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penglibatan mahasiswa UPSI sepanjang pertandingan tersebut berlangsung.

Antara mahasiswa Fakulti Sains dan Matematik (FSM), UPSI yang berjaya mara ke pusingan akhir ialah Muhammad Hafiz Fikri Razali, William Ong Hao Ren, Tiong Yong Jian, Huzairi Iqbal Beddu Usin, Sok Lee Chuan, Muhammad Haiqal Haqimi Ikhsan dan Muhammad Raihan.

Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai mahasiswa UPSI untuk terus cemerlang dalam bidang matematik dan seterusnya mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.