Oleh : Christisia hecyly

TANJONG MALIM, 29 April – Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) telah berjaya menganjurkan program “IKSAS Foodbank 3.0: Simple Act Of Caring” dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup mahasiswa pascasiswazah dan prasiswazah asal Sabah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program yang memfokuskan kepada pengagihan bakul makanan mengandungi barangan keperluan asas ini telah memberi manfaat kepada seramai 200 orang mahasiswa Sabah yang memerlukan, khususnya daripada golongan B40.

Bagi memastikan kelancaran program, proses pendaftaran dan pengagihan bantuan telah dijalankan secara serentak di dua lokasi utama, iaitu di Kafe Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) dan Bitarasiswa, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS). Ahli jawatankuasa (AJK) pelaksana turut dibahagikan kepada dua kumpulan bagi mengendalikan kedua-dua lokasi berkenaan.

Menurut salah seorang peserta program, Muhammad Azrin Bin Saeh dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, inisiatif ini memberikan impak yang sangat besar kepada pelajar yang terkesan dengan kos sara hidup. Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan pihak persatuan dalam menjaga kebajikan anak-anak jati Sabah di perantauan.

Selain memberi bantuan kebajikan, program ini juga menjadi platform terbaik bagi barisan AJK pelaksana IKSAS untuk mengasah bakat kepimpinan serta memperkukuh nilai empati. Langkah ini sekali gus meletakkan IKSAS sebagai sebuah persatuan yang bukan sahaja aktif di kampus, malah sentiasa meletakkan agenda kebajikan pelajar sebagai keutamaan.

Keberkesanan program ini mendapat maklum balas yang amat positif daripada para peserta, sehinggakan ada yang mencadangkan agar program foodbank ini dilaksanakan sebanyak dua kali bagi setiap semester.

Pihak penganjur berharap agar sumbangan bakul makanan asas ini sedikit sebanyak dapat memelihara kebajikan bersama dan menyemarakkan lagi semangat kekitaan serta silaturahim dalam kalangan mahasiswa Sabah di UPSI.

By shira