Oleh: Siti Masyitah binti A.Runji
Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Baitul Al-Hilmi , Kampung Tambak, Slim Village, Slim River, Perak, 9 Mei 2026 (Sabtu)
Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Program Kasih Al-Hilmi: Huluran Kasih, Menyuluh Harapan di Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Baitul Al-Hilmi, Kampung Tambak, Slim River, Perak. Program yang berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 4.00 petang ini merupakan inisiatif Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan PERMAS Sidang 2025/2026 bagi memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.



Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kepentingan aktiviti kemasyarakatan di samping menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan sikap suka membantu golongan yang memerlukan. Selain itu, program ini turut menjadi medium untuk mahasiswa berkongsi ilmu, motivasi serta pengalaman bersama penghuni rumah kebajikan.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif telah dijalankan termasuk sesi suai kenal, permainan berkumpulan, aktiviti pembinaan sahsiah serta slot perkongsian inspirasi berkaitan pendidikan dan motivasi diri. Aktiviti-aktiviti tersebut berjaya mewujudkan suasana ceria dan mesra antara mahasiswa dengan penghuni Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Baitul Al-Hilmi.



Sebagai simbol keprihatinan terhadap komuniti, pihak penganjur turut menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian, wang tunai dan duit raya kepada penghuni rumah kebajikan. Inisiatif ini dilaksanakan hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk warga kampus, individu perseorangan serta penaja yang bersama-sama menjayakan misi kebajikan tersebut.
Penganjuran Program Kasih Al-Hilmi telah berjalan dengan lancar dan menerima sambutan yang amat baik daripada para peserta serta penghuni rumah kebajikan. Program ini bukan sahaja berjaya mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dan komuniti setempat, malah turut memperkukuhkan nilai kemanusiaan serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa UPSI.



Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat, selaras dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kepekaan sosial dan jiwa kemasyarakatan yang tinggi.
