Oleh: Nur Damia Farisha 

Tanjong Malim, 27 MEI  2026 – Program Langkah Selamat, Hidup Sihat yang dianjurkan oleh pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) semester 3, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya melalui kerjasama semua pelajar dan pensyarah kursus KAT1023 Pendidikan Kesihatan dan Keselamatan Awal Kanak-Kanak.

Program yang berkredit tiga jam ini melibatkan penyertaan seramai 96 orang pelajar bersama seorang pensyarah kursus, Puan Norrulkamari Daud dilaksanakan di Makmal Inkubator, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) dan Pusat Aktiviti Pelajar (PAP), UPSI.

Program ini dianjurkan sebagai salah satu platform meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kesedaran bakal pendidik berkaitan aspek kesihatan, keselamatan dan nutrisi awal kanak-kanak.

Pendedahan yang diberikan melalui pelbagai aktiviti berbentuk teori dan amali membolehkan pelajar memahami dengan lebih mendalam tanggungjawab seorang pendidik dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak di persekitaran pembelajaran.

Bagi mencapai objektif program yang telah ditetapkan, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar berkaitan kesihatan, keselamatan dan nutrisi awal kanak-kanak. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Food Plating yang memberi pendedahan kepada pelajar mengenai konsep Pinggan Sihat Malaysia Suku-Suku-Separuh.

Melalui aktiviti ini, pelajar mempelajari cara memilih makanan yang berkhasiat, menyediakan hidangan yang seimbang serta menghasilkan penyusunan makanan yang menarik bagi menggalakkan amalan pemakanan sihat dalam kalangan kanak-kanak.

Selain itu, pelajar turut mengikuti aktiviti berkaitan keselamatan dan pertolongan cemas yang memberi fokus kepada keselamatan di sekolah, rumah dan persekitaran harian. Pelajar didedahkan dengan simulasi keselamatan jalan raya, langkah pencegahan kemalangan serta latihan amali seperti CPR, pengendalian kes tercekik dan teknik balutan asas. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bukan sahaja membantu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap aspek kesihatan dan keselamatan kanak-kanak, malah turut membina keyakinan diri serta kemahiran praktikal yang penting untuk diaplikasikan sebagai bakal pendidik pada masa hadapan.

Sepanjang program berlangsung, para pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi melaksanakan aktiviti yang telah dirancang. Aktiviti Food Plating telah dijalankan di Bilik Inkubator FPM dengan memberi fokus kepada aspek pemakanan sihat dan seimbang untuk kanak-kanak.

Melalui aktiviti Food Plating, pelajar didedahkan dengan konsep Pinggan Sihat Malaysia iaitu Suku-Suku-Separuh, yang menekankan pengambilan makanan secara seimbang. Pelajar mempelajari bahawa satu perempat pinggan perlu diisi dengan sumber karbohidrat seperti nasi atau bijirin, satu perempat lagi dengan sumber protein seperti ikan, ayam atau kekacang, manakala separuh daripada pinggan diisi dengan sayur-sayuran dan buah-buahan. 

Selain itu, pelajar turut didedahkan dengan pemilihan makanan yang berkhasiat, penyediaan hidangan yang seimbang serta teknik penyusunan makanan yang kreatif dan menarik bagi menggalakkan kanak-kanak mengamalkan tabiat pemakanan sihat sejak usia awal. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan pelajar tentang nutrisi kanak-kanak, malah membantu mereka memahami cara menyediakan hidangan yang memenuhi keperluan pemakanan dan perkembangan kanak-kanak secara optimum. 

Menurut pensyarah kursus, Puan Norrulkamari Daud, program ini berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan dalam meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kesedaran pelajar berkaitan aspek kesihatan, keselamatan serta nutrisi awal kanak-kanak. Beliau turut memuji komitmen, kerjasama dan penglibatan aktif yang ditunjukkan oleh para pelajar sepanjang pelaksanaan program.

Walaupun terdapat segelintir pelajar yang masih kurang jelas dan keliru terhadap beberapa konsep yang dipelajari semasa aktiviti dijalankan, pensyarah telah memberikan penerangan dan penjelasan lanjut pada akhir setiap sesi. Melalui sesi perkongsian dan refleksi tersebut, pelajar berpeluang mengemukakan soalan serta mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam berkaitan topik yang dipelajari. Hasilnya, pelajar dapat menambah ilmu pengetahuan serta meningkatkan keyakinan mereka dalam mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh dalam situasi sebenar.

Beliau berharap agar pengalaman dan ilmu yang diperoleh melalui program ini dapat dimanfaatkan oleh para pelajar kursus pada masa hadapan, khususnya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai bakal pendidik yang sentiasa peka terhadap aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Di samping itu, Program Keselamatan yang berlangsung di Pusat Aktiviti Pelajar (PAP) memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dalam mengendalikan kanak-kanak di sekolah, rumah dan persekitaran harian.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah demonstrasi keselamatan di jalan raya, simulasi pematuhan peraturan lalu lintas, pengenalan kepada tanda isyarat serta aktiviti interaktif yang membantu pelajar memahami langkah-langkah keselamatan yang perlu diterapkan kepada kanak-kanak sejak usia awal. Pelajar turut didedahkan dengan aspek keselamatan di dalam rumah seperti mengenal pasti bahaya yang berpotensi menyebabkan kemalangan serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil bagi memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk kanak-kanak.

Selain aspek keselamatan, pelajar juga didedahkan dengan amalan kesihatan harian yang penting untuk diterapkan dalam kehidupan kanak-kanak. Antaranya termasuk cara mencuci tangan dengan betul, menjaga kebersihan diri dan persekitaran serta mengamalkan gaya hidup sihat. Aktiviti ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan pendidikan kesihatan dalam membentuk tabiat positif dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.

Selain itu, sesi pertolongan cemas juga diselitkan sebagai elemen pembelajaran secara amali dan merupakan satu pendedahan kepada pelajar mengenai tindakan awal yang perlu diambil ketika berdepan situasi kecemasan melibatkan awal kanak-kanak. Pelajar berpeluang mengikuti latihan amali berkaitan teknik Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), pengendalian kes tersedak atau tercekik serta teknik balutan yang betul bagi merawat kecederaan ringan.

Melalui sesi amali ini, pelajar dapat mempraktikkan sendiri setiap teknik pertolongan cemas yang dipelajari dengan bimbingan pensyarah kursus. Pengalaman secara langsung ini membantu meningkatkan tahap kefahaman pelajar serta keyakinan dalam mengendalikan situasi kecemasan dengan lebih tenang dan berkesan. Kemahiran asas seperti ini amat penting khususnya bagi bakal pendidik yang bakal berhadapan dengan pelbagai situasi melibatkan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Sepanjang program berlangsung, para pelajar menunjukkan penglibatan yang aktif dan memberikan kerjasama yang sangat baik dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Semangat kerja berpasukan, komunikasi yang berkesan serta sikap saling membantu yang ditunjukkan oleh pelajar telah menyumbang kepada kelancaran pelaksanaan program secara keseluruhannya.

Program diakhiri dengan sesi rumusan dan penutup serta sesi fotografi sebagai kenangan bersama. Majlis penutup tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap komitmen dan usaha semua pihak yang telah menjayakan program ini dengan cemerlang.

Secara keseluruhannya, Program Langkah Selamat, Hidup Sihat telah berjaya mencapai hasil pembelajaran kursus dengan baik dalam meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kesedaran pelajar berkaitan kesihatan, keselamatan dan nutrisi awal kanak-kanak. Program ini bukan sahaja memberi manfaat dari aspek akademik, malah turut membantu membentuk sahsiah, kemahiran insaniah dan keyakinan diri dalam kalangan bakal pendidik.