Oleh: Maeyza Zahara Binti Mohd Fahmi dan Muhammad Hafimuddin bin Amin
Seri Iskandar, 17 Mei 2026 – Seramai 16 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai Program JAGUH Keusahawanan Nasional 2026 Siri 5/2026 yang berlangsung pada 16 hingga 17 Mei 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak. Program anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini bertujuan memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa dan graduan melalui penghasilan idea inovatif serta pembangunan penyelesaian yang memenuhi keperluan semasa pasaran.
Penyertaan UPSI melibatkan pelajar daripada program Diploma Keusahawanan serta pelajar Ijazah Sarjana Muda yang mengikuti kursus Budaya Keusahawanan. Program ini memberi peluang kepada peserta untuk menimba ilmu dan pengalaman secara langsung dalam bidang keusahawanan melalui pelbagai aktiviti yang menekankan pembangunan idea, pembinaan prototaip asas, pembentangan projek serta penerapan kemahiran inovasi dan kreativiti.
Program JAGUH merupakan satu inisiatif nasional yang memberi penekanan kepada tiga sektor utama, iaitu Sektor Pertumbuhan Tinggi dan Bernilai Tinggi (HGHV), Ekonomi Jingga (Orange Economy) dan Ekonomi Biru (Blue Economy). Melalui penglibatan dalam program ini, peserta didedahkan kepada proses pembangunan idea yang berimpak tinggi serta berpeluang memahami keperluan industri dan pasaran dalam menghasilkan inovasi yang berdaya saing.
Sepanjang program berlangsung, para peserta turut berpeluang berinteraksi dan bekerjasama dengan mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh negara. Penglibatan dalam aktiviti berkumpulan, sesi perkongsian idea dan perbincangan secara kolaboratif bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan, malah menjadi medium untuk membina jaringan profesional yang bermanfaat pada masa hadapan.


Selain memperkukuh pengetahuan dan kemahiran keusahawanan, program ini turut berjaya mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta UPSI yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pengajian. Pengalaman mengikuti program secara bersama telah mewujudkan semangat kerjasama, persefahaman dan kebersamaan yang lebih erat antara pelajar Diploma Keusahawanan dan pelajar Ijazah Sarjana Muda yang mengambil kursus Budaya Keusahawanan.
Penyertaan dalam Program JAGUH Keusahawanan Nasional 2026 ini selaras dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki nilai kepimpinan, kreativiti, inovasi dan semangat keusahawanan yang tinggi. Pengalaman yang diperoleh sepanjang program diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada para pelajar untuk terus meneroka peluang keusahawanan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan masyarakat pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, Program JAGUH Keusahawanan Nasional 2026 Siri 5/2026 telah memberikan pengalaman yang bermakna dan berimpak tinggi kepada peserta UPSI. Diharapkan penyertaan dalam program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berdaya saing, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran dunia keusahawanan yang semakin berkembang.
