LUBOK CHINA, MELAKA, 12 Jun 2026 – Keprihatinan terhadap pembangunan pendidikan komuniti luar bandar terus dizahirkan menerusi Program Khidmat Komuniti anjuran Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama strategik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Sungai Siput, Lubok China, Melaka.
Sekolah Kebangsaan Sungai Siput yang merupakan sekolah kurang murid kini menempatkan seramai 88 orang murid bermula daripada peringkat prasekolah hingga tahun enam dengan sokongan 13 orang guru. Pemilihan sekolah ini sebagai lokasi program adalah selaras dengan hasrat PTB dan TNB untuk mendekati komuniti pendidikan luar bandar serta membantu meningkatkan akses kepada kemudahan dan sumber pembelajaran yang lebih kondusif.
Ketua Pustakawan PTB, Noriha Muhammad berkata, program kali ini menampilkan kelainan apabila melibatkan penyertaan menyeluruh semua kakitangan PTB dalam menjayakan aktiviti bersama murid-murid sekolah. Pendekatan tersebut bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara institusi dan komuniti, malah memberi peluang kepada warga perpustakaan untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan sahsiah dan pembudayaan ilmu dalam kalangan murid.


“Apabila melihat kegembiraan dan keterujaan murid-murid sepanjang program berlangsung, ia memberi satu kepuasan yang sukar digambarkan. Bukan sekadar datang menyumbang, tetapi kami mahu hadir menyantuni dan mencipta pengalaman bermakna bersama mereka,” katanya.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program berlangsung antaranya sesi storytelling, pertandingan mewarna, kuiz serta treasure hunt yang berjaya menarik penglibatan aktif murid-murid.
Dalam masa yang sama, PTB turut menyumbangkan sebanyak 113 naskhah buku kepada Pusat Sumber Sekolah sebagai usaha memperkukuh budaya membaca dan menambah koleksi bahan bacaan untuk kegunaan murid serta guru. Sumbangan tersebut diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam membantu meningkatkan tahap literasi dan pembelajaran murid di sekolah berkenaan.
Melihat kepada kekangan peruntukan dan keperluan menaik taraf kemudahan sekolah, TNB turut tampil menyalurkan sumbangan dana berjumlah RM9,300.00 bagi membantu pihak sekolah mendapatkan keperluan fasiliti termasuk pembelian smart TV serta kemudahan lain yang diperlukan untuk proses pengajaran dan pembelajaran.


Menurut Ketua Unit Medical Provider Management & Compliance TNB, Encik Wan Mohd Zuwairee Wan Ibrahim, inisiatif seperti ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan TNB dalam membantu komuniti, khususnya dalam bidang pendidikan.
“Kami percaya setiap anak-anak berhak mendapat akses pendidikan yang baik tanpa mengira lokasi atau latar belakang. Sebab itu TNB sentiasa terbuka untuk bekerjasama dalam program yang memberi manfaat terus kepada masyarakat,” ujarnya.
Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak jalinan kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi, sektor korporat dan komuniti setempat dalam usaha memperkasa pendidikan serta membina masyarakat yang lebih berilmu dan sejahtera.
