Tanjong Malim – Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melakar satu lagi sejarah apabila diberi kepercayaan menjadi tuan rumah bagi program Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam (MKPUA) yang berlangsung selama dua hari, bermula 28 hingga 29 Julai 2026.

Penganjuran program ini bukan sahaja menghimpunkan Ketua Pustakawan Universiti Awam dari seluruh Malaysia, malah menjadi platform strategik untuk memperkukuh jaringan kerjasama, berkongsi amalan terbaik serta membincangkan hala tuju perpustakaan akademik dalam mendepani cabaran dan transformasi digital.

Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai pengisian bermanfaat telah disusun merangkumi mesyuarat rasmi MKPUA, sesi perkongsian ilmu bersama Bendahari UPSI, Tn. Hj. Mohamed Najib bin Mohamad mengenai ekosistem kelestarian kewangan universiti, perkongsian Dr. Nur Munira binti Azman (pensyarah Fakulti Sains dan Matematik), berkaitan konservasi burung dalam usaha memastikan ekosistem dan biodiversiti burung dan habitatnya terus terpelihara di samping mengadakan aktiviti ‘bird watching’ sebagai platform Citizen Science@UPSI. Pengisian program turut diserikan lagi dengan pertandingan persahabatan boling antara Ketua-Ketua Pustakawan pada sebelah malamnya di UPSI Sports Bowl selain lawatan ke Muzium Pendidikan Nasional (MPN) dan UPSI Digital Library (UDL).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Ts. Dr. Suriani binti Abu Bakar, dalam sesi pertemuan bersama delegasi MKPUA menegaskan bahawa pihak Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap usaha memperkukuh perpustakaan sebagai hab ilmu yang menyokong kecemerlangan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan. Menurut beliau, pertemuan Ketua Pustakawan Universiti Awam di bumi Muallim merupakan satu platform yang amat bermakna dan membanggakan pihak UPSI.

Beliau turut menyatakan rasa teruja kerana berpeluang bersama-sama para delegasi, dengan menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar perpustakaan dalam menyediakan akses kepada sumber maklumat berkualiti demi memenuhi keperluan pengguna.

Sementara itu, Ketua Pustakawan UPSI, Pn. Noriha binti Muhammad melahirkan rasa syukur dan berbesar hati kerana PTB diberi penghormatan menjadi tuan rumah. Beliau menyifatkan penganjuran ini sebagai satu pengiktirafan terhadap keupayaan PTB dalam mengendalikan program berskala nasional.

Berakhirnya program selama dua hari ini meninggalkan seribu satu kenangan buat semua delegasi yang hadir. Selain memperkukuh hubungan profesional, program ini turut membuka ruang kepada pertukaran idea, pengalaman dan amalan terbaik yang bakal memberi manfaat kepada pembangunan perpustakaan akademik di Malaysia.