Tanjong Malim, 30 Jun 2026 – Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menyemarakkan budaya membaca melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada warga kampus serta komuniti setempat. Kali ini, Bahagian Pembangunan Teknikal (BPT) telah turun padang menyampaikan 200 naskhah buku agama kepada Teratak Dusun Al-Barakah, Sungkai dan Pondok Muallim, Slim River, Perak sebagai usaha memperluaskan akses masyarakat kepada bahan bacaan yang berkualiti.



Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pustakawan, En. Mohd. Razalli Ahmad Termizi bersama warga BPT. Inisiatif ini bukan sekadar menyalurkan bahan bacaan, malah mencerminkan komitmen PTB dalam menyebarluaskan ilmu, menyokong pembangunan sahsiah serta memupuk penghayatan nilai-nilai murni menerusi amalan membaca.
Pengurus Teratak Dusun Al-Barakah, Ustaz Ezzul Hafiz, menzahirkan penghargaan atas sumbangan yang diterima.
“Buku-buku yang diterima ini pastinya dapat dimanfaatkan oleh para pelajar untuk menambah pengetahuan serta memperkukuh usaha mereka dalam mendalami ilmu agama,” katanya.



Sementara itu, En. Mohd. Razalli Ahmad Termizi berkata, setiap naskhah yang disumbangkan bukan sekadar bahan bacaan, sebaliknya merupakan medium penyebaran ilmu yang mampu memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.
Beliau turut berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam menyokong proses pembelajaran, sekali gus menyemai budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat.
Penghargaan turut dizahirkan oleh Mudir Pondok Muallim, Ustaz Mohd. Tarmizi Abdul Rahman, yang menyifatkan sumbangan ini sebagai satu usaha murni yang mampu memperkaya koleksi bahan bacaan serta memberi nilai tambah kepada para pelajar dan warga pondok.
Program seumpama ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan PTB dalam memperkasa budaya membaca serta memperluaskan penyebaran ilmu kepada masyarakat. Melalui inisiatif sebegini, PTB berharap lebih ramai pihak dapat menikmati manfaat daripada bahan bacaan yang berkualiti.
