oleh Adi Ratna Mohammed Nor
GOMBAK, 15 Jun 2026 – Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan lawatan akademik ke Fakulti Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sempena majlis Penyerahan Projek Heritage Studies 2022 KAED UIAM.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Mariana Mohamed Osman, Dekan Fakulti Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Aliyah Nur Zafirah Sanusi, Ketua Jabatan KAED UIAM, Prof. Dr. Nurul Hamiruddin Salleh (Penyelaras) serta beberapa orang pensyarah dan pelajar yang terlibat secara langsung dalam Projek Heritage Studies 2022. Penglibatan aktif warga akademik dan pelajar dalam program ini mencerminkan komitmen KAED UIAM dalam memperkasa kajian warisan sebagai medium pemeliharaan, pendokumentasian dan penghayatan khazanah budaya negara.



Lawatan ini bertujuan meninjau hasil penyelidikan dan dokumentasi warisan yang dilaksanakan oleh pelajar Heritage Studies KAED UIAM, selain memperkukuh hubungan akademik antara IPM UPSI dan UIAM dalam bidang pemuliharaan, dokumentasi serta interpretasi warisan budaya. Delegasi IPM turut berpeluang meneliti pembentangan projek, model kajian, dokumentasi sejarah dan cadangan pemuliharaan yang dihasilkan oleh pelajar sebagai sebahagian daripada pengajian mereka.
Melalui sesi perkongsian ilmu dan perbincangan profesional, kedua-dua institusi bertukar pandangan mengenai pendekatan terkini dalam pemeliharaan warisan, pembangunan galeri, interpretasi sejarah serta penglibatan komuniti dalam usaha memartabatkan khazanah warisan negara.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan IPM UPSI dalam memperluaskan jaringan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi terkemuka bagi memperkukuh bidang warisan dan peradaban Melayu. Diharapkan hubungan yang terjalin akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi pada masa hadapan, khususnya dalam penyelidikan, pameran dan pembangunan program pendidikan warisan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
