Oleh: Muhammad Badrul Amin Mohamad Farid
Tanjong Malim, 5 Jun 2026 – Musim cuti sekolah dimanfaatkan dengan penuh bermakna menerusi penganjuran Program Caliph Camp 7.0: Fun and Learn!, sebuah program pembangunan sahsiah yang dirangka khusus untuk membentuk potensi kanak-kanak dan remaja melalui pendekatan pembelajaran holistik yang menggabungkan aspek rohani, intelektual dan kreativiti dalam suasana santai, ceria dan menyeronokkan.
Program yang berlangsung selama tiga hari, bermula 3 hingga 5 Jun 2026, merupakan anjuran Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dengan kerjasama Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Seramai 24 orang peserta telah menyertai program ini dan dibimbing oleh fasilitator terlatih menerusi pelbagai modul yang dirancang secara sistematik serta berimpak tinggi.



Seawal hari pertama, peserta disatukan melalui sesi Ice Breaking dan Ta’aruf yang bertujuan membina keyakinan diri, mengeratkan ukhuwah serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta. Pendekatan yang santai namun bermakna ini berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang mesra dan kondusif sepanjang program berlangsung.
Elemen pembinaan rohani turut diberikan penekanan menerusi slot Q Smart dan Path of Sincerity, yang membimbing peserta memahami serta menghayati nilai-nilai ibadah dan akhlak dalam kehidupan seharian. Dalam masa yang sama, kreativiti peserta diasah melalui modul Art to Heart, yang membuka ruang untuk mereka mengekspresikan emosi dan imaginasi melalui aktiviti seni, sekali gus menyumbang kepada perkembangan emosi yang positif dan peningkatan keyakinan diri.



Hari kedua program menyaksikan peserta meneroka dunia sains melalui slot Dora Venture, yang memperkenalkan konsep asas tumbuh-tumbuhan dan fenomena alam secara interaktif. Pengalaman pembelajaran diteruskan dengan slot Go Speak Up Korea yang memberi pendedahan awal kepada bahasa asing, di samping modul Sains Comot yang mengukuhkan elemen STEM melalui eksperimen menyeronokkan dan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Hari terakhir pula dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sukaneka berkumpulan dan Treasure Hunt yang menekankan nilai kepimpinan, kerjasama, komunikasi serta semangat kesukanan. Sorakan dan gelak tawa yang memenuhi ruang program jelas menggambarkan keterujaan peserta sepanjang mengikuti setiap aktiviti yang disediakan.



Dalam majlis penutupan program, Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh, menegaskan bahawa Caliph Camp bukan sekadar program pengisian cuti sekolah, malah merupakan satu usaha strategik dalam membentuk generasi muda yang seimbang dan berdaya tahan.
“Caliph Camp dirangka bagi menyemai nilai-nilai Ulul Albab sejak usia awal, iaitu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik,tetapi juga kukuh dari segi rohani, emosi dan sahsiah. Pendekatan pembelajaran bersepadu seperti ini amat penting dalam mendepani cabaran pendidikan masa kini,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Program, Nor Hayati Aziz, menyifatkan kejayaan penganjuran Caliph Camp 7.0 sebagai hasil kerjasama erat antara pihak penganjur, fasilitator serta sokongan berterusan daripada ibu bapa.



“Program ini dirancang dengan teliti agar setiap pengisian memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada peserta. Besar harapan kami agar ilmu, nilai dan kenangan yang diperoleh sepanjang program ini dapat dibawa pulang serta diamalkan dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, Caliph Camp 7.0 membuktikan bahawa pembelajaran yang digabungkan dengan elemen keseronokan, nilai keagamaan, sains dan kreativiti mampu menjadi medium yang berkesan dalam membentuk generasi muda yang seimbang, berakhlak mulia, berdaya saing serta memiliki jati diri yang kukuh. Program ini selaras dengan aspirasi Pusat Ulul Albab UPSI untuk melahirkan generasi Ulul Albab yang cemerlang, berintegriti dan bersediamemimpin masa hadapan.

