Disediakan oleh: Nor Athirah Binti Azman
TANJONG MALIM, 13 Jun 2026 – Dalam usaha menyemai aspirasi pendidikan tinggi dalam kalangan pelajar sekolah, Pusat Ulul Albab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) UPSI telah menganjurkan Program Lead with SMK Taman Nusa Damai yang berlangsung selama dua hari bermula 12 hingga 13 Jun 2026 di kampus UPSI.
Program ini melibatkan seramai 40 orang pelajar Tingkatan Lima dari SMK Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, Johor yang dipilih berdasarkan rekod kehadiran penuh ke sekolah. Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai kehidupan kampus, peluang pendidikan tinggi serta pengalaman sebenar sebagai mahasiswa universiti.



Program dimulakan dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh di ruang legar Bitarasiswa. Dalam ucapan beliau, para pelajar diseru agar berani memasang impian yang tinggi dan menjadikan pendidikan sebagai jambatan yang menghubungkan cita-cita dengan kejayaan masa hadapan.
Usai menunaikan solat Jumaat, para peserta mengikuti sesi eksplorasi kampus yang membuka tirai pengalaman mereka sebagai bakal mahasiswa. Lawatan dimulakan di Muzium Nasional UPSI, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), yang menyaksikan para pelajar menelusuri perjalanan sejarah institusi pendidikan tersebut daripada era Sultan Idris Training College (SITC) sehingga berkembang sebagai sebuah universiti pendidikan terkemuka negara. Pelbagai bahan pameran berkaitan sejarah pendidikan negara turut memberi gambaran yang lebih jelas tentang evolusi sistem pendidikan Malaysia.



Pengembaraan ilmu diteruskan ke Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) sebelum para peserta dibawa melawat Fakulti Sains dan Matematik. Di sini, mereka berpeluang melihat sendiri persekitaran pembelajaran yang digunakan oleh mahasiswa, termasuk kemudahan makmal Fizik serta penggunaan teknologi pendidikan moden seperti papan pintar (smartboard), kamera dan sistem mikrofon yang menyokong proses pengajaran dan pembelajaran secara lebih interaktif.
Lawatan seterusnya membawa para peserta ke Pusat Islam UPSI. Mereka diberi penerangan mengenai sejarah penubuhan Pusat Islam serta Masjid Al-Mursyidin yang menjadi nadi pembangunan kerohanian warga universiti. Para pelajar turut berkesempatan melawat galeri Pusat Islam yang memaparkan pelbagai koleksi dan dokumentasi berkaitan perkembangan institusi tersebut.



Destinasi terakhir ialah Pusat Sukan UPSI yang menawarkan pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi untuk kegunaan mahasiswa. Selain meninjau fasiliti yang disediakan, para peserta turut menikmati panorama indah di sekitar tasik kampus sambil merakam kenangan bersama rakan-rakan, menjadikan pengalaman lawatan lebih bermakna.
Pada sebelah malam, suasana program bertukar lebih santai namun tetap meriah apabila para peserta menyertai aktiviti bowling di UPSI Sports Bowl. Gelak tawa, sorakan dan tepukan semangat bergema sepanjang aktiviti berlangsung, mencerminkan semangat persahabatan dan kebersamaan yang terjalin dalam kalangan peserta. Kegembiraan jelas terpancar pada wajah mereka, terutama ketika berjaya memperoleh strike, sekali gus menjadikan aktiviti tersebut antara momen yang paling diingati sepanjang program.
Keesokan harinya, para peserta menyertai aktiviti Treasure Hunt yang berlangsung di sekitar Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Aktiviti yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu menguji kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerjasama dan penyelesaian masalah dalam kalangan peserta.
Sebanyak enam lokasi utama dijadikan sebagai pusat cabaran yang perlu ditemui berdasarkan petunjuk yang diberikan, antaranya Tadahan Utara, Tadahan Selatan, Bangunan E-Learning, Bangunan SITC, Perpustakaan Tuanku Bainun dan Auditorium. Selain memupuk semangat kerja berpasukan, aktiviti ini turut membuka ruang kepada para pelajar untuk mengenali dengan lebih dekat warisan sejarah serta kemudahan yang terdapat di UPSI.
Program kemudiannya diteruskan dengan slot motivasi bertajuk “Tak Penat Ke Jadi Biasa?” yang dikendalikan oleh Naib Yang Dipertua KeSUA, Muhammad Nur Hakim Lahasi bersama Exco Kepimpinan KeSUA, Muhammad Badrul Amin Mohamad Farid.
Slot yang sarat dengan perkongsian pengalaman dan inspirasi itu berjaya menyentuh hati para peserta. Mereka dibimbing untuk mengenal pasti potensi diri, menilai kekuatan yang dimiliki serta membina hala tuju kehidupan yang lebih jelas. Melalui pendekatan yang dekat dengan realiti kehidupan pelajar, para penceramah berjaya meniupkan semangat baharu agar peserta berani melangkah keluar daripada zon selesa, terus berusaha dan tidak sekadar menjadi pemerhati kepada kejayaan orang lain.
Secara keseluruhannya, Program Lead with SMK Taman Nusa Damai berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dalam memberi pendedahan awal mengenai kehidupan mahasiswa dan dunia pendidikan tinggi. Program ini bukan sekadar membuka pintu kampus kepada para pelajar, bahkan turut membuka jendela pemikiran mereka terhadap peluang dan potensi yang boleh dicapai melalui pendidikan.
Diharapkan program seumpama ini akan terus dilaksanakan pada masa hadapan sebagai wadah yang mampu menyemarakkan semangat pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Pengalaman yang dilalui sepanjang program diharap menjadi benih inspirasi yang akan terus bercambah, seterusnya membentuk generasi muda yang berilmu, berwawasan dan bersedia memimpin masa depan.

