Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon dan Natasya Alya binti Mamat
Tanjong Malim, 30 Jun 2026 – Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Majlis Restu Ilmu Semester 7 (Batch Invictus) yang berlangsung dalam suasana penuh bermakna dan menyentuh hati. Program ini menghimpunkan semua pelajar Semester 7 Batch Invictus bersama para pensyarah Jabatan Pendidikan Khas sebagai simbolik penghargaan, penghormatan dan ikatan silaturahim yang terjalin sepanjang tempoh pengajian.
Penganjuran majlis ini bertujuan memberikan peluang kepada para pelajar memohon restu, keberkatan ilmu serta doa daripada pensyarah sebelum melangkah ke fasa akhir pengajian dan menghadapi peperiksaan. Selain menjadi satu tradisi yang menyemai nilai murni dalam dunia pendidikan, majlis ini turut mencerminkan penghormatan terhadap jasa dan pengorbanan para pensyarah yang telah membimbing, mendidik serta membentuk sahsiah mahasiswa sepanjang mereka menimba ilmu di universiti.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada wakil pelajar dan pensyarah yang menekankan kepentingan menghargai ilmu, menjaga adab terhadap guru serta mengamalkan nilai integriti dan profesionalisme sebagai bakal pendidik. Kata-kata nasihat yang disampaikan menjadi suntikan motivasi kepada para pelajar agar terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan bersedia menggalas tanggungjawab sebagai guru Pendidikan Khas yang berkompeten, beretika dan berjiwa pendidik.
Kemuncak majlis diserikan dengan sesi memohon restu dan salam-salaman antara pelajar dan pensyarah. Suasana penuh emosi jelas terpancar apabila para pelajar mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas segala ilmu, bimbingan, dorongan dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para pensyarah sepanjang tempoh pengajian. Ramai pelajar turut memohon kemaafan atas segala kekhilafan serta memohon doa agar dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi peperiksaan akhir, menyiapkan tanggungjawab akademik dan melangkah ke alam kerjaya sebagai pendidik.

Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk memohon restu, malah berjaya memperkukuh hubungan erat antara pelajar dan pensyarah yang telah terbina sepanjang pengajian. Nilai hormat-menghormati, kasih sayang, keikhlasan dan penghargaan yang dizahirkan sepanjang program mencerminkan budaya akademik yang positif serta menjadi asas penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek ilmu pengetahuan, malah memiliki sahsiah dan nilai kemanusiaan yang tinggi.

Penganjuran Majlis Restu Ilmu Semester 7 (Batch Invictus) diharapkan menjadi kenangan yang bermakna buat seluruh warga Batch Invictus sebelum menamatkan pengajian di UPSI. Semangat kebersamaan dan doa yang dikongsikan sepanjang majlis diharap menjadi pemangkin kepada kejayaan para pelajar dalam menempuh cabaran akademik dan seterusnya melangkah ke alam profesion sebagai guru Pendidikan Khas yang berdedikasi, berintegriti dan sentiasa komited dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.
